have faith in ALLAH

Archive for February, 2011

JOM BERCINTA ^^,

Bismillahi wal hamdulillah.

Was solatu was salamu ‘ala Rasulillah.

JOM BERCINTA  (^^,)

Salam buat semua..

Moga hidup kita penuh cinta 🙂

Dalam artikel kali ini saya berhajat untuk berkempen agar semua kita serius dalam percintaan dan bersemangat dalam mengejar cinta 🙂 .

CINTA ASAS KEHIDUPAN

Antara ayat Al-Qur’an yang suka saya ulang bisik kepada diri sendiri adalah ayat dari Surah Adz-Dzariyaat, ayat 21 yang bermaksud ;

“Dan pada diri kamu, maka apakah kamu tidak perhatikan?”

Ayat yang sentiasa memperingatkan kita, bahawa di sekeliling kita terlalu banyak yang telah ciptaan Allah yang fungsinya mendekatkan diri kita dengan Allah. Pada kerjasama yang telah sekian lama terjalin sesama organ tubuh kita, pada kerajinan jantung kita mengepam darah, pada ikhlasnya kuku kita melindungi isi jari kita (kuku antara anggota badan yang sangat jarang dihargai sedangkan ketiadaannya pasti sangat menyakitkan dan menyulitkan urusan seharian kita) dan pada segala yang berlegar seputar kehidupan kita, maka apakah kita tidak memerhatikan?

“Dan pada hari ini Kami tutup mulut-mulut mereka, tangan mereka akan berkata kepada Kami dan kaki mereka akan memberi kesaksian terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. ”

Surah Yaasin ; 65.

Hari ini kita menyaksikan tumpasnya pencuri-pencuri, pembunuh dan penjenayah hasil pengesanan cap-cap jari suspek di tempat kejadian. Seolah-olah tangan-tangan mereka telah bersuara memberi kesaksian ;

“Wahai penguatkuasa, tangkaplah dia, sesungguhnya tangan inilah yang telah memecah masuk rumah si fulan.

“Wahai pemerintah, hukumlah dia. Sesungguhnya tangan inilah yang telah meragut nyawa mereka yang tidak berdosa.”

Bukankah apa yang dijelaskan dalam Al-Qur’an lebih seribu tahun yang lalu kini berlaku di depan mata kita? Pandanglah segalanya dengan hati.

Kadang-kadang kita terlepas pandang beberapa perkara yang kita lalui dalam kehidupan seharian kita. Dan kali ini apa kata kalau kita perhatikan pula, apa yang kita tak perasan sesuatu tentang cinta.

Cinta merupakan antara asas kehidupan.

Ramai yang tahu, tetapi tidak semua kita menyedarinya.

Mengapakah cinta dikatakan sebagai sesuatu yang mengasaskan sebuah kehidupan seseorang?

Pertama, lihatlah ibu bapa kita. Kita ini lahir tidak dari sebatang pokok. Mungkin kita pernah dengar hikayat puteri buloh betong, kisah pinnochio tapi kita percaya itu hanya mitos semata. Lahirnya kita, daripada kasih sayang dua orang insan, atau mungkin lebih ; cinta ibu bapa kita, restu datuk dan nenek atas pernikahan mereka dahulu, itu semua bukti kita ini lahir dari cinta. Paling tidak, cinta seorang ibu yang sanggup melahirkan kita. Zaman sekarang bukan sedikit janin yang digugurkan dan kita Alhamdulillah diberikan peluang untuk hidup sebagai seorang muslim yang mukmin, yang tinggi darjatnya. Firman Allah SWT dalam Surah At-Tin ayat ke 8,

“Sesungguhnya Kami telah ciptakan manusia sebagai sebaik-baik kejadian.”

Allah juga telah mengkhabarkan betapa kasih dan cintanya seorang ibu terhadap anaknya melalui Surah Luqman, ayat 14 :

“..Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemahyang bertambah-tambah dan menyusukannya selama dua tahun..”

Seterusnya, alihkan pula pandangan kita pada perjuangan Rasulullah dalam menyebarkan dakwah suatu masa dahulu. Baginda bukan sahaja sanggup dicaci, dipulau dan dipandang serong. Bahkan baginda sanggup mengharungi segala keperitan demi cinta baginda kepada umat. Baginda nabi pernah patah gigi dalam sebuah peperangan. Tetapi semangat baginda tidak luntur begitu saja. Kerana apa? Kerana baginda mahu memerangi kejahilan. Supaya kebenaran itu nanti akan dapat disampaikan hingga kepada umat akhir zaman. Malah saat baginda hamper wafat pun, baginda tetap cintakan kita. Bibir baginda hanya menyebut “ummati..ummati..ummati..”. Tidakkah ini membuktikan betapa mendalamnya cinta baginda kepada kita? Cinta tanpa pertemuan, prihatin tanpa kenal. Hebatnya cinta baginda pada kita. Sampai hari akhirat pun, masih tercar-cari umatnya untuk diberi syafaat. Betapa sukar menjumpai “penderma yang mencari pengemis”. Apatah lagi saat huru hara Hari Kebangkitan.

Hebat sungguh. Tapi tahukah kamu cinta yang lebih hebat dari cinta ini?

Cinta Allah adalah seagung-agung cinta.

Perhatikan alam sekeliling kita. Udara yang kita hirup, makanan yang kita nikmati, bumi tempat kita berpijak hari-hari, insan yang mengasihi kita,dan segalanya yang kita senangi. Sedarlah, semuanya datang dari Allah. Allah ciptakan semua yang kita perlukan untuk kita. Kerana Allah tersangat cintakan kita. Habis-habis sayang seorang ibu pun, ketika anaknya lapar, dia hanya mampu memberi makan,tetapi yang menciptakan makanan itu adalah Allah. Seorang ibu hanya akan menyuap anaknya ubat, tetapi Allah lah yang menyembuhkan. Inilah Dia cinta Allah. Renungkan. Allah berikan segala yang kita perlukan. Untuk memberi kita peluang bernafas sehingga hari ini, Allah ciptakan udara. Untuk beri kita makan sahaja, Allah ciptakan haiwan, tumbuhan, sistem penghadaman, perkumuhan…bukankah ini suatu tanda? Sangat benar, inilah tanda Allah cintakan kita.

“Dia menciptakan langit tanpa tiang,yang kamu menyaksikannya dan Dia meletakkan gunung-ganang di permukaan bumi supaya bumi itu tidak menggoyangkan kamu, dan memperkembang biakkan pada segala jenis binatang. Dan Kami turunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkanpadanya segala macam tumbuh-tumbuhan yang baik.” (Surah Luqman, ayat 10)

Lihatlah.. Allah cintakan kita.

CINTA ITU PENTING, BERCINTA ITU LEBIH-LEBIH LAGI

Apabila cinta itu salah satu asas kehidupan, maka cinta itu penting.

Ini pendapat peribadi saya. Masih boleh dibahas, dikaji, diperbincangkan. Asal saja kita sama-sama mahu memelihara niat, adab dan matlamat kita dalam apa jua ikhtilaf. Mengapa saya tekankan hal ini? Buka sekadar kerana ia boleh menjaga keharmonian sesame kita, malahan ia merupakan ajaran Islam. Justeru sebagai seorang muslim, kita harus akur. Lebih-lebih lagi kalau mahu menjadi mukmin yang seentiasa diredha Allah.

Bila mahu berbicara tentang cinta, maka kalimah cinta itu harus kita fahami terlebih dahulu. Saya banyak mendengar definesi-definesi cinta. Antara yang popular ;

“Cinta itu adalah pengorbanan.” ….simple bukan?

“Cinta itu suatu perasaan yang mampu membakar semangat seseorang. Cinta yang benar itu sifatnya menguatkan, bukan melemahkan. Dengan cinta, seseorang itu mampu melangkah jauh, walau jalannya berliku.”

“Cinta itu abstrak, hadirnya kadang tanpa dapat disedari. Ia suatu perasaan indah, yang mampu menjadikan seseorang bahagia walau dalam kepayahan hidup. Alangkah beruntungnya seseorang itu apabila dia mencintai Allah dan Allah pula mencintainya.”

“Cinta itu ialah rasa sayang, mahu menjaga yang disayangi dari apa jua bahaya dan hendak bersama hingga ke syurga.”

Saya berpendapat cinta itu ada dua, syar’ie dan tidak syari’ie.

Saya sendiri tenang pada makna cinta bahawa ia harus berpaksikan iman dan diiringi pengorbanan. Berkorban masa dan tenaga untuk menjaga yang disayangi. Maka perbuatan yang menyebabkan orang yang disayangi itu sakit, dibakar api neraka dan dimurkai Allah hanyalah cinta yang tidak syar’ie lagi palsu.

Cinta yang syar’ie adalah yang cinta dituntut di dalam Islam, yang makin dipupuk makin bertambah pahala. Makin dibaja makin mendekatkan diri pada Allah. Bukankah Islam itu satu cara hidup? Maka seluruh hidup kita jika dipandu Islam semuanya akan menjadi ibadah.

“…Dan katakanlah : Ya Tuhanku! Kasihanilah kedua mereka  sebagaimana mereka mengasihi kami sewaktu kecil.” (Al-Israa’, ayat 24)

“Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.”

Pada ayat di atas, Allah mengajar kita suatu doa untuk diamalkan. Antara isi doa itu adalah berkenaan kasih sayang. Dan pada hadis diatas pula Rasulullah menggesa seorang mikmin agar mencintai saudaranya yang muslim sebagai bukti imannya.

Ini merupakan contoh syar’ie yang saya dapat bawakan.

Cinta yang tidak syar’ie pula adalah istilah cinta yang biasa digunapakai hari ini, seperti ‘i lap u, u lap i..jom pi wayang..’

Tanpa ikatan yang sah,kaum adam dan hawa bebas berpegangan tangan, chatting, sms tanpa alasan yang syarak..makan sama, wayang pula. Macam-macam.

Cukuplah setakat ini tentang pengertian cinta.

Apabila saya katakan bercinta itu penting, saya tidak menipu. Kalaulah cinta itu asas kehidupan, maka kita waji bercinta. Tapi dengan siapa itu harus diperhatikan.

Saya di sini ingin mencadangkan cinta alternatif, sebagai ubat bagi penyakit cinta tak syar’ie yang menyerang pemuda zaman kini, bahkan golongan yang bergelar ustaz dan ustazah juga kadang-kadang tidak cukup ‘imun’ untuk menangkis penyakit ini.

Saya mahu mengajak kita semua agar bercinta dengan ilmu.

Saya suka dengan satu formula; ilmu = iman + cinta.

MENUNTUT ILMU ATAS DORONGAN IMAN


Setiap perkara yang kita lakukan, mesti mempunyai hujah yang kukuh, dasar yang jelas dari Islam dan kita perlu faham, kita lakukan sesuatu perkara dan kita tinggalkan sesuatu perkara hanya kerana Allah. Kehendak Allah wajib kita utamakan. Jadi tindakan-tindakan kita juga perlu atas keperluan, bukan semata-mata keinginan.

Kita menuntut ilmu kerana kita faham ajaran Islam dan tuntutan iman. Wahyu pertama yang diturunkan juga berisi galakan menuntut ilmu. Firman Allah dalam Surah AL-‘Alaq ayat 1 dan 3,

(1) Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan,

(3) Bacalah, dan Tuhanmu lah yang Maha Mulia.

Dalam hadis juga banyak menyebut tentang ganjaran dan keistimewaan seorang penuntut ilmu. Darjat seorang alim itu sangat tinggi jika dibandingkan dengan seorang abid. Dan tidaklah seseorang itu digelar alim cukup dengan ilmunya semata, tetapi ilmu itu mesti diiringi amal. Seorang senior saya, (ust muiz) sering berkata , ‘Erti hidup pada memberi, Nilai ilmu pada praktik (amal)’.

“…Sesungguhnya yang takut pada Allah di antara hamba-hambanya hanyalah ulama…” (Surah Fathir ayat 28)

Jadi kita menuntut ilmu bukan sekadar untuk bekerja saraa keluarga, lebih dari itu kita mahu menghadirkan rasa takut kepada Allah.

BERCINTA DENGAN ILMU


Orang bercinta ni, manis belaka. Dialog biasa yang kita dengar,

“Untukmu adinda, lautan api sanggup kanda renangi, hutan belantara sanggup diredah, gunung ganang sanggup didaki.”

Kadang kelakar jugak dengar, tapi itulah hakikat. Demi yang dicintai, biasanya hilang kepentingan diri. Si dia lebih diutamakan.

Lihat saja cerita Puteri Gunung Ledang. Dalam apa jua versi, satu persamaan saya temui. Si Puteri meletakkan pelbagai syarat yang mustahil kepada si peminang. Hati nyamuk tujuh dulang, darah anak lelaki semangkuk, jambatan emas la bagai. Tapi si peminang sanggup penuhi hamper semua syarat. Kenapa? Tak lain kerana cinta.

Sekarang apa kata kita pusing dialog tu sesuai dengan keadaan kita?

Maka bermadahlah pelajar jurusan Bahasa Arab,

“Kalaulah untuk pinang segulung ijazah perlukan saya hafal 500 bait syair sekalipun, insyaAllah saya usahakan. Untuk awak wahai ilmu, sebutlah. Hafal kitab, tak ponteng kuliyah, study group, tutorial.. Kalau itu maharnya, saya akan usahakan.” 🙂

Hah…kan romantik bunyinya. Cinta yang halal ada depan mata, mengapa murka Allah juga yang dicari?

-Aku ambik medic ni bukan kehendak aku. Tok aku sebelum meninggai dulu pesan ; “Hang nanti, esok-esok masuk U ambik medic noo..” so aku ambik la..

-Aku tak minatlah usuluddin.

-Aku tak nak mengaji mesir.

Ayat-ayat yang saya biasa dengar.

1 & 2. Bila dijodohkan dengan kos yang bukan pilihan kita, bukankah minat itu boleh dipupuk? Percayalah, pilihan Allah itu sentiasa yang terbaik buat kita. Kita kadang sibuk memikirkan apa yang kita tak dapat, sehingga kita tak cukup masa dengan apa yang Allah kurniakan pada kita. Berhenti pertikaikan itu dan ini, mulakan bekerja dan berusaha dalam apa yang ditetapkan buat kita.

3. Tak mahu tempat tu, tak mahu tempat ni. Mana-mana pun ada pro dan kontranya. Saya ambil mesir buat contoh saja. Ramai orang kata, Mesir bumi barakah, tanah keras yang bakal membentuk kita menjadi seorang yang kuat. Saya juga melalui pengalaman yang membuat saya berasa begitu. Susah macam mana pun, kita kena ingat. “With great power comes great responsibility.” Au kama qaal, hehe.. Baiki iman dan mantapkanlah keyakinan pada Allah. Moga dipermudahkan jalan.

JADIKANLAH SETIAP HARI KAMU, HARI UNTUK KAMU BERCINTA

Masalah sekarang apabila orang barat mengajar kita, hari ibu itu tarikhnya sekian sekian. Hari kekasih itu tarikhnya ada tarikh tertentu.

Jadi kalau kita bercinta dengan ilmu, apakah hanya 14 Feb baru nak belek buku, ulangkaji dan menghafaz? Alamatnya tak lulus periksa la pelajar luar negara. Mesir contohnya, exam pada bulan 12 dan 5. Menuntut ilmu pula merupakan suatu proses yang berterusan dari buayan hingga ke liang lahad.

Orientalis itu sesat lagi menyesatkan. Kata orang kampung saya pada orang sesat, dia tu sesat barat!

Artikel ini bukanlah untuk bercerita tentang sejarah Valentine Day, tetapi lebih kepada untuk mengajak kita semua melakukan setiap sesuatu dengan tujuan yang jelas, yakni kerana Allah. Bila ada masalah ikhtilat tak syar’ie, sibukkanlah diri dengan dakwah, ilmu dan tarbiyyah.

~ CINTA ITU FITRAH. FITRAH MEMERLUKAN HIDAYAH.JIKA TIDAK, FITRAH BOLEH MEMBAWA KEPADA DHOLALAH. ~

Yang mencintai kamu kerana Allah,

..sofiyyukum..