have faith in ALLAH

sirami api kemarahan dengan kejernihan wuduk yang diangkat kerana Allah.

CERITA RAKYAT

Ada masa emosi kita kurang stabil.

Ada masa kita kurang sabar.

Maka ayat-ayat yang kurang enak di dengar akan lancar sahaja keluar dari mulut.

Tambahan pula bagi mereka yang dalam keadaan terlampau marah, tubuh akan terasa sedikit menggeletar, mata bertukar kemerah-merahan, nafas makin kurang teratur, macam-macam lagi.

Tidak kurang yang kita temui, bahkan mungkin sesetengah kita sendiri yang mudah meninggikan suara kepada orang yang sengaja menyalakan api kemarahan kita.

Lagi pula kalau si dia itu lebih muda dari kita, lebih rendah jawatan atau pangkat daripada kita atau kita merasakan diri kita lebih bagus daripada dia yakni tidak mungkin melakukan kesilapan seperti yang dia lakukan (ini lebih teruk lagi) .

Herdikan, caci maki dan pukulan mungkin saja dihadiahkan kepada mereka yang kita anggap salah.

Biasa kita dengar di tengah kesibukan jalanraya,

“HOI !! BUTA KE?! TRAFFIC LIGHT DAH HIJAU, TUNGGU APA LAGI ?! JALAN LA CEPAT…!! #*@&$% !!

Dan segala ayat kasar itu ditutupi dengan pelbagai kata-kata kesat.

Tidak kurang pula yang kita pernah alami dalam dunia kita sebagai pekerja berjawatan rendah. Pantang ada kesilapan kecil, kebiasaannya maki hamunlah yang akan menjadi habuan.

“Dasar budak tak habis belajar ! Suruh buat kerja mudah pun masih salah lagi. Useless!!”

Aduh..pedih sungguh. Namun bagi yang dimarahi, suka mahupun tidak, semua itu ditelan seolah tidak berperasaan.

Kisah di atas hanyalah kisah-kisah picisan, kecil sahaja jika mahu dibandingkan dengan hakikat kehidupan sosial hari ini.

Realitinya masih banyak ‘drama-drama’ sadis yang berlaku di luar sana. Hidup dalam nuansa keegoan sebenarnya bukanlah sesuatu yang indah.

Mengisi kelaparan pagi dengan ayat-ayat pedih menghiris, beristirehat kala lelah petang hari diiringi jelingan tajam dan beradu waktu malam dalam dodoian caci maki bukanlah suatu yang nyaman lagi diimpikan.

KAMI JUGA BACA AL-QURAN.

Rata-rata umat Islam hari ini masih membaca Al-Qur’an.

Paling tidak, sekali setahun.

Setelah Al-Qur’an dibiar berhabuk di atas almari, pada majlis khatam qur’an kita ambil juga.

Pada bulan Ramadhan, kita belek juga kitab suci pegangan kita.

Pada ketika ada saudara terdekat, ibu bapa atau sahabat handai yang meninggaldunia, masa itulah kita baca Al-Qur’an.

Bila nak bersumpah, Qur’an lagi yang kita genggam.

Itulah Al-Qur’an.

Ternyata ia merupakan mukjizat terbesar Nabi Allah, Muhammad SAW yang masih kekal hingga kini. Bahkan masih dikaji intipatinya dan terus menjadi rujukan seorang mukmin.

Maka kita, seorang yang mengaku beriman harus merujuk Al-Qur’an, biar apapun jua tindakan kita.

Lantas, ketika marah, mari kita buka kembali helaian Al-Qur’an.

Firman Allah dalam Surah At-Tahrim, ayat 8 :

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai…”

Firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 110,

“Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri kemudian dia memohon ampun kepada Allah nescaya dia akan mendapati Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

KITA MANUSIA BIASA, SEDANG ALLAH MERUPAKAN RAJA SEGALA RAJA.

Kita selaku manusia, apabila sekali sekala perintah kita tidak dituruti orang bawahan, cepat benar kita melenting.

Kita manusia, orang mungkir janji dengan kita, tidak segan kita mengamuk satu dunia.

Itulah hakikat manusia.

Selalu merasakan dirinya yang terbaik, orang lain semuanya salah.

Bagaimana pula urusan kita dengan Allah?

Sehari entah berapa kali kita khilaf.

Berapa kali kita buat tak endah suruhan Allah.

Janji kita dengan Allah, adakah kita tepati?

Mungkin ada yang terlupa janjinya, maka mari kita renung kembali.

“Dan INGATLAH ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman) : Bukankah Aku ini Tuhanmu? Mereka menjawab : Betul (Engkau Tuhan kami) , kami menjadi saksi. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan : Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan) .

Kadang-kadang kita ini benar-benar kurang adab dengan Tuhan.

Diberinya nikmat hujan, kita merungut itu dan ini.

Diberi pula panas matahari, ada saja sungutan kedengaran.

Semuanya serba tak kena.

Bayangkan bagaimana halnya jika kita ke tempat kerja begitu.

Diberi rehat, komen itu ini. Konon tidak produktiflah, budaya kerja pemalas dan sebagainya.

Diberi kerja bertimbun, kata pula majikan tidak bertimbangrasa.

Dengan perangai yang suka mempertikai dan mempersoal itu ini, agak-agaknya apa ending kerjaya kita?

Bagaimana nasib kita di pejabat? Susah! Alamat tak lama ada la yang kena pecat !

AL-QURAN SEBAGAI RUJUKAN & AJARAN ALLAH.

Lihatlah bagaimana Allah menyentuh hati-hati kita dalam kalamnya yang halus lagi indah.

Firman Allah dalam Surah At-Tahrim, ayat 8 :

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai….”

Firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 110,

“Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri kemudian dia memohon ampun kepada Allah nescaya dia akan mendapati Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Dengan hamba-hambaNya yang berdosa pun, Allah masih mahu memanggil dengan panggilan yang lembut, Allah itu Al-Lateef, Maha Lembut.

Bila seorang hamba berdosa, masih dipanggilnya ; Wahai sekalian yang beriman, …..

Tiada makian, kata-kata kesat. Sedang Allah itu Raja sekalian raja, dan kita pula hanya seorang hamba yang tida daya upaya. Baru saya faham, mengapa ulama-ulama yang faham bahasa arab, tak kira dia itu orang melayu, arab atau inggeris, terlalu mudah menitiskan air mata ketika mengalunkan ayat suci Al-Quran. Mukjizat Al-Quran, dari segi uslub bahasanya! Dipujuk pula hamba yang berlumuran dosa itu dengan ayat ; Allah Maha Penyayang dsb. Kita bagaimana?

BILA KITA MAHU MARAH, KENANGKANLAH..

Tulisan ini bukan untuk menghukum sesiapa, sekadar mengajak kita bermuhasabah kembali.

Tiap kali mahu marah pada yang bukan tempatnya, fikir kembali.

Aku buat salah dengan tuhan semalam, hingga hari ini masih belum bertaubat. Tidak pula Allah runtuhkan langit ini menghempap aku. Aih..tak patut aku pukul orang.

Bila nak marah, renungkan semula.

Aku solat tidak pada awal waktu setiap hari, bukan kerana uzur syar’ie. Tapi Allah masih beri aku peluang untuk kembali. Ishh..malu aku nak tengking orang.

Bila saja mahu marah, kenangkan kembali ayat suci Al-Quran yang pernah dihayati. Allah itu pangkatnya jauh lebih tinggi dari aku, tidak pula Dia turunkan bala setiap kali manusia berbuat dosa. Ya Allah, jadikanlah aku seorang yang sangat penyabar.

Marah itu bukan tidak dibenarkan sama sekali, bahkan Islam menggalakkan umatnya marah dalam situasi tertentu.

Dan saat kesabaran kita diuji, tika urusan hidup kita tidak lancar akibat kesilapan seseorang, jangan diamkan sahaja kesalahan dia. Tetapi jangan dimarahi dengan kasar tanpa perikemanusiaan. Sepak terajang itu bukan seni nasihat dalam Islam.

Islam ajar adab untuk menegur orang yang berbuat kesalahan.

Maka pelajarilah Islam dan beramallah dengannya.

Bila kita marah, ingatlah pada Allah!

Advertisements

JOM BERCINTA ^^,

Bismillahi wal hamdulillah.

Was solatu was salamu ‘ala Rasulillah.

JOM BERCINTA  (^^,)

Salam buat semua..

Moga hidup kita penuh cinta 🙂

Dalam artikel kali ini saya berhajat untuk berkempen agar semua kita serius dalam percintaan dan bersemangat dalam mengejar cinta 🙂 .

CINTA ASAS KEHIDUPAN

Antara ayat Al-Qur’an yang suka saya ulang bisik kepada diri sendiri adalah ayat dari Surah Adz-Dzariyaat, ayat 21 yang bermaksud ;

“Dan pada diri kamu, maka apakah kamu tidak perhatikan?”

Ayat yang sentiasa memperingatkan kita, bahawa di sekeliling kita terlalu banyak yang telah ciptaan Allah yang fungsinya mendekatkan diri kita dengan Allah. Pada kerjasama yang telah sekian lama terjalin sesama organ tubuh kita, pada kerajinan jantung kita mengepam darah, pada ikhlasnya kuku kita melindungi isi jari kita (kuku antara anggota badan yang sangat jarang dihargai sedangkan ketiadaannya pasti sangat menyakitkan dan menyulitkan urusan seharian kita) dan pada segala yang berlegar seputar kehidupan kita, maka apakah kita tidak memerhatikan?

“Dan pada hari ini Kami tutup mulut-mulut mereka, tangan mereka akan berkata kepada Kami dan kaki mereka akan memberi kesaksian terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. ”

Surah Yaasin ; 65.

Hari ini kita menyaksikan tumpasnya pencuri-pencuri, pembunuh dan penjenayah hasil pengesanan cap-cap jari suspek di tempat kejadian. Seolah-olah tangan-tangan mereka telah bersuara memberi kesaksian ;

“Wahai penguatkuasa, tangkaplah dia, sesungguhnya tangan inilah yang telah memecah masuk rumah si fulan.

“Wahai pemerintah, hukumlah dia. Sesungguhnya tangan inilah yang telah meragut nyawa mereka yang tidak berdosa.”

Bukankah apa yang dijelaskan dalam Al-Qur’an lebih seribu tahun yang lalu kini berlaku di depan mata kita? Pandanglah segalanya dengan hati.

Kadang-kadang kita terlepas pandang beberapa perkara yang kita lalui dalam kehidupan seharian kita. Dan kali ini apa kata kalau kita perhatikan pula, apa yang kita tak perasan sesuatu tentang cinta.

Cinta merupakan antara asas kehidupan.

Ramai yang tahu, tetapi tidak semua kita menyedarinya.

Mengapakah cinta dikatakan sebagai sesuatu yang mengasaskan sebuah kehidupan seseorang?

Pertama, lihatlah ibu bapa kita. Kita ini lahir tidak dari sebatang pokok. Mungkin kita pernah dengar hikayat puteri buloh betong, kisah pinnochio tapi kita percaya itu hanya mitos semata. Lahirnya kita, daripada kasih sayang dua orang insan, atau mungkin lebih ; cinta ibu bapa kita, restu datuk dan nenek atas pernikahan mereka dahulu, itu semua bukti kita ini lahir dari cinta. Paling tidak, cinta seorang ibu yang sanggup melahirkan kita. Zaman sekarang bukan sedikit janin yang digugurkan dan kita Alhamdulillah diberikan peluang untuk hidup sebagai seorang muslim yang mukmin, yang tinggi darjatnya. Firman Allah SWT dalam Surah At-Tin ayat ke 8,

“Sesungguhnya Kami telah ciptakan manusia sebagai sebaik-baik kejadian.”

Allah juga telah mengkhabarkan betapa kasih dan cintanya seorang ibu terhadap anaknya melalui Surah Luqman, ayat 14 :

“..Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemahyang bertambah-tambah dan menyusukannya selama dua tahun..”

Seterusnya, alihkan pula pandangan kita pada perjuangan Rasulullah dalam menyebarkan dakwah suatu masa dahulu. Baginda bukan sahaja sanggup dicaci, dipulau dan dipandang serong. Bahkan baginda sanggup mengharungi segala keperitan demi cinta baginda kepada umat. Baginda nabi pernah patah gigi dalam sebuah peperangan. Tetapi semangat baginda tidak luntur begitu saja. Kerana apa? Kerana baginda mahu memerangi kejahilan. Supaya kebenaran itu nanti akan dapat disampaikan hingga kepada umat akhir zaman. Malah saat baginda hamper wafat pun, baginda tetap cintakan kita. Bibir baginda hanya menyebut “ummati..ummati..ummati..”. Tidakkah ini membuktikan betapa mendalamnya cinta baginda kepada kita? Cinta tanpa pertemuan, prihatin tanpa kenal. Hebatnya cinta baginda pada kita. Sampai hari akhirat pun, masih tercar-cari umatnya untuk diberi syafaat. Betapa sukar menjumpai “penderma yang mencari pengemis”. Apatah lagi saat huru hara Hari Kebangkitan.

Hebat sungguh. Tapi tahukah kamu cinta yang lebih hebat dari cinta ini?

Cinta Allah adalah seagung-agung cinta.

Perhatikan alam sekeliling kita. Udara yang kita hirup, makanan yang kita nikmati, bumi tempat kita berpijak hari-hari, insan yang mengasihi kita,dan segalanya yang kita senangi. Sedarlah, semuanya datang dari Allah. Allah ciptakan semua yang kita perlukan untuk kita. Kerana Allah tersangat cintakan kita. Habis-habis sayang seorang ibu pun, ketika anaknya lapar, dia hanya mampu memberi makan,tetapi yang menciptakan makanan itu adalah Allah. Seorang ibu hanya akan menyuap anaknya ubat, tetapi Allah lah yang menyembuhkan. Inilah Dia cinta Allah. Renungkan. Allah berikan segala yang kita perlukan. Untuk memberi kita peluang bernafas sehingga hari ini, Allah ciptakan udara. Untuk beri kita makan sahaja, Allah ciptakan haiwan, tumbuhan, sistem penghadaman, perkumuhan…bukankah ini suatu tanda? Sangat benar, inilah tanda Allah cintakan kita.

“Dia menciptakan langit tanpa tiang,yang kamu menyaksikannya dan Dia meletakkan gunung-ganang di permukaan bumi supaya bumi itu tidak menggoyangkan kamu, dan memperkembang biakkan pada segala jenis binatang. Dan Kami turunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkanpadanya segala macam tumbuh-tumbuhan yang baik.” (Surah Luqman, ayat 10)

Lihatlah.. Allah cintakan kita.

CINTA ITU PENTING, BERCINTA ITU LEBIH-LEBIH LAGI

Apabila cinta itu salah satu asas kehidupan, maka cinta itu penting.

Ini pendapat peribadi saya. Masih boleh dibahas, dikaji, diperbincangkan. Asal saja kita sama-sama mahu memelihara niat, adab dan matlamat kita dalam apa jua ikhtilaf. Mengapa saya tekankan hal ini? Buka sekadar kerana ia boleh menjaga keharmonian sesame kita, malahan ia merupakan ajaran Islam. Justeru sebagai seorang muslim, kita harus akur. Lebih-lebih lagi kalau mahu menjadi mukmin yang seentiasa diredha Allah.

Bila mahu berbicara tentang cinta, maka kalimah cinta itu harus kita fahami terlebih dahulu. Saya banyak mendengar definesi-definesi cinta. Antara yang popular ;

“Cinta itu adalah pengorbanan.” ….simple bukan?

“Cinta itu suatu perasaan yang mampu membakar semangat seseorang. Cinta yang benar itu sifatnya menguatkan, bukan melemahkan. Dengan cinta, seseorang itu mampu melangkah jauh, walau jalannya berliku.”

“Cinta itu abstrak, hadirnya kadang tanpa dapat disedari. Ia suatu perasaan indah, yang mampu menjadikan seseorang bahagia walau dalam kepayahan hidup. Alangkah beruntungnya seseorang itu apabila dia mencintai Allah dan Allah pula mencintainya.”

“Cinta itu ialah rasa sayang, mahu menjaga yang disayangi dari apa jua bahaya dan hendak bersama hingga ke syurga.”

Saya berpendapat cinta itu ada dua, syar’ie dan tidak syari’ie.

Saya sendiri tenang pada makna cinta bahawa ia harus berpaksikan iman dan diiringi pengorbanan. Berkorban masa dan tenaga untuk menjaga yang disayangi. Maka perbuatan yang menyebabkan orang yang disayangi itu sakit, dibakar api neraka dan dimurkai Allah hanyalah cinta yang tidak syar’ie lagi palsu.

Cinta yang syar’ie adalah yang cinta dituntut di dalam Islam, yang makin dipupuk makin bertambah pahala. Makin dibaja makin mendekatkan diri pada Allah. Bukankah Islam itu satu cara hidup? Maka seluruh hidup kita jika dipandu Islam semuanya akan menjadi ibadah.

“…Dan katakanlah : Ya Tuhanku! Kasihanilah kedua mereka  sebagaimana mereka mengasihi kami sewaktu kecil.” (Al-Israa’, ayat 24)

“Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.”

Pada ayat di atas, Allah mengajar kita suatu doa untuk diamalkan. Antara isi doa itu adalah berkenaan kasih sayang. Dan pada hadis diatas pula Rasulullah menggesa seorang mikmin agar mencintai saudaranya yang muslim sebagai bukti imannya.

Ini merupakan contoh syar’ie yang saya dapat bawakan.

Cinta yang tidak syar’ie pula adalah istilah cinta yang biasa digunapakai hari ini, seperti ‘i lap u, u lap i..jom pi wayang..’

Tanpa ikatan yang sah,kaum adam dan hawa bebas berpegangan tangan, chatting, sms tanpa alasan yang syarak..makan sama, wayang pula. Macam-macam.

Cukuplah setakat ini tentang pengertian cinta.

Apabila saya katakan bercinta itu penting, saya tidak menipu. Kalaulah cinta itu asas kehidupan, maka kita waji bercinta. Tapi dengan siapa itu harus diperhatikan.

Saya di sini ingin mencadangkan cinta alternatif, sebagai ubat bagi penyakit cinta tak syar’ie yang menyerang pemuda zaman kini, bahkan golongan yang bergelar ustaz dan ustazah juga kadang-kadang tidak cukup ‘imun’ untuk menangkis penyakit ini.

Saya mahu mengajak kita semua agar bercinta dengan ilmu.

Saya suka dengan satu formula; ilmu = iman + cinta.

MENUNTUT ILMU ATAS DORONGAN IMAN


Setiap perkara yang kita lakukan, mesti mempunyai hujah yang kukuh, dasar yang jelas dari Islam dan kita perlu faham, kita lakukan sesuatu perkara dan kita tinggalkan sesuatu perkara hanya kerana Allah. Kehendak Allah wajib kita utamakan. Jadi tindakan-tindakan kita juga perlu atas keperluan, bukan semata-mata keinginan.

Kita menuntut ilmu kerana kita faham ajaran Islam dan tuntutan iman. Wahyu pertama yang diturunkan juga berisi galakan menuntut ilmu. Firman Allah dalam Surah AL-‘Alaq ayat 1 dan 3,

(1) Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan,

(3) Bacalah, dan Tuhanmu lah yang Maha Mulia.

Dalam hadis juga banyak menyebut tentang ganjaran dan keistimewaan seorang penuntut ilmu. Darjat seorang alim itu sangat tinggi jika dibandingkan dengan seorang abid. Dan tidaklah seseorang itu digelar alim cukup dengan ilmunya semata, tetapi ilmu itu mesti diiringi amal. Seorang senior saya, (ust muiz) sering berkata , ‘Erti hidup pada memberi, Nilai ilmu pada praktik (amal)’.

“…Sesungguhnya yang takut pada Allah di antara hamba-hambanya hanyalah ulama…” (Surah Fathir ayat 28)

Jadi kita menuntut ilmu bukan sekadar untuk bekerja saraa keluarga, lebih dari itu kita mahu menghadirkan rasa takut kepada Allah.

BERCINTA DENGAN ILMU


Orang bercinta ni, manis belaka. Dialog biasa yang kita dengar,

“Untukmu adinda, lautan api sanggup kanda renangi, hutan belantara sanggup diredah, gunung ganang sanggup didaki.”

Kadang kelakar jugak dengar, tapi itulah hakikat. Demi yang dicintai, biasanya hilang kepentingan diri. Si dia lebih diutamakan.

Lihat saja cerita Puteri Gunung Ledang. Dalam apa jua versi, satu persamaan saya temui. Si Puteri meletakkan pelbagai syarat yang mustahil kepada si peminang. Hati nyamuk tujuh dulang, darah anak lelaki semangkuk, jambatan emas la bagai. Tapi si peminang sanggup penuhi hamper semua syarat. Kenapa? Tak lain kerana cinta.

Sekarang apa kata kita pusing dialog tu sesuai dengan keadaan kita?

Maka bermadahlah pelajar jurusan Bahasa Arab,

“Kalaulah untuk pinang segulung ijazah perlukan saya hafal 500 bait syair sekalipun, insyaAllah saya usahakan. Untuk awak wahai ilmu, sebutlah. Hafal kitab, tak ponteng kuliyah, study group, tutorial.. Kalau itu maharnya, saya akan usahakan.” 🙂

Hah…kan romantik bunyinya. Cinta yang halal ada depan mata, mengapa murka Allah juga yang dicari?

-Aku ambik medic ni bukan kehendak aku. Tok aku sebelum meninggai dulu pesan ; “Hang nanti, esok-esok masuk U ambik medic noo..” so aku ambik la..

-Aku tak minatlah usuluddin.

-Aku tak nak mengaji mesir.

Ayat-ayat yang saya biasa dengar.

1 & 2. Bila dijodohkan dengan kos yang bukan pilihan kita, bukankah minat itu boleh dipupuk? Percayalah, pilihan Allah itu sentiasa yang terbaik buat kita. Kita kadang sibuk memikirkan apa yang kita tak dapat, sehingga kita tak cukup masa dengan apa yang Allah kurniakan pada kita. Berhenti pertikaikan itu dan ini, mulakan bekerja dan berusaha dalam apa yang ditetapkan buat kita.

3. Tak mahu tempat tu, tak mahu tempat ni. Mana-mana pun ada pro dan kontranya. Saya ambil mesir buat contoh saja. Ramai orang kata, Mesir bumi barakah, tanah keras yang bakal membentuk kita menjadi seorang yang kuat. Saya juga melalui pengalaman yang membuat saya berasa begitu. Susah macam mana pun, kita kena ingat. “With great power comes great responsibility.” Au kama qaal, hehe.. Baiki iman dan mantapkanlah keyakinan pada Allah. Moga dipermudahkan jalan.

JADIKANLAH SETIAP HARI KAMU, HARI UNTUK KAMU BERCINTA

Masalah sekarang apabila orang barat mengajar kita, hari ibu itu tarikhnya sekian sekian. Hari kekasih itu tarikhnya ada tarikh tertentu.

Jadi kalau kita bercinta dengan ilmu, apakah hanya 14 Feb baru nak belek buku, ulangkaji dan menghafaz? Alamatnya tak lulus periksa la pelajar luar negara. Mesir contohnya, exam pada bulan 12 dan 5. Menuntut ilmu pula merupakan suatu proses yang berterusan dari buayan hingga ke liang lahad.

Orientalis itu sesat lagi menyesatkan. Kata orang kampung saya pada orang sesat, dia tu sesat barat!

Artikel ini bukanlah untuk bercerita tentang sejarah Valentine Day, tetapi lebih kepada untuk mengajak kita semua melakukan setiap sesuatu dengan tujuan yang jelas, yakni kerana Allah. Bila ada masalah ikhtilat tak syar’ie, sibukkanlah diri dengan dakwah, ilmu dan tarbiyyah.

~ CINTA ITU FITRAH. FITRAH MEMERLUKAN HIDAYAH.JIKA TIDAK, FITRAH BOLEH MEMBAWA KEPADA DHOLALAH. ~

Yang mencintai kamu kerana Allah,

..sofiyyukum..

Islam aku dan Islam kamu

Bismillah,

Wal hamdulillah,

Was solatu was salamu ‘ala Rasulillah. Wa ba’d.

 
 
 

"The best way to predict your future is to creat it"

 

Salam buat semua, moga terus bergerak ke arah kebaikan. Bicara hari ini tentang Islam dan Iman 🙂 . Moga Allah ampuni segala yang terlebih dan terkurang dan semoga Allah masih sudi memandu kita dengan hidayahNya.

MUQADDIMAH : SEBESAR-BESAR NIKMAT

                Syukur kepada Allah, kita antara yang Allah pilih untuk menerima dua nikmat yang terbesar, yang tidak semua 6.5 billion penghuni dunia bertuah memilikinya, ALHAMDULILLAH . Nikmat yang saya maksudkan sudah pastinya nikmat IMAN DAN ISLAM .

                Pahit atau manis, suka atau pun tidak, perlu kita akui akan suatu hakikat. Hakikat bahawa sekarang ini terlalu ramai ummah yang tidak menyedari kehadiran dua nikmat terbesar ini.

 Jika kamu kata ramai yang tahu dan mengaku mereka juga dikurniakan nikmat ini, benar. Saya setuju dengan kamu. Tapi fikirkan kembali, apakah kita sebenarnya sekadar tahu, atau sedar dengan pasti, bahawa kita benar-benar menganggap Islam dan Iman ini merupakan suatu nikmat.

Imbas sahaja kembali hari-hari ketika kita masih di bangku sekolah rendah dahulu. Ibu bapa membekalkan wang saku sebanyak RM5 sehari. Wahh…ini memang suatu yang kita anggap nikmat. Masakan tidak. Rata-rata teman kita hanya dibekalkan sekitar RM2 atau RM3. Kita menyedari nikmat pemberian ibu bapa kita, lantas wang RM5 itu kita manfaatkan sebaiknya. Tidak kita biarkan bersepah di mana-mana, tidak kita bazirkan begitu sahaja, bahkan kita teliti sama ada wang itu kita simpan di dalam saku atau dompet, kita congak perbelanjaan dan baki dalam tangan kita. Pendek kata, kita ambil tahu hampir segala yang berkaitan duit kita nan sekeping itu! Kerana apa? Tidak hanya tahu itu suatu nikmat, bahkan kesedaran serta kepercayaan kita itulah yang mendorong agar kita begitu mengambil berat akan duit itu. Aliran keluarnya ke mana dibelanjakan, tempat simpannya di mana supaya tidak terlupakan, hatta kepada siapa dipinjamkan supaya nanti mudah urusan tuntutan juga kita amati. Apa puncanya? Percaya atau tidak, hanyalah kerana kita sedar itu nikmat milik kita, hanya kerana kita menghargai pemberian ibu bapa tercinta.

Saya mengharapkan bermula saat ini, kita merasakan bahawa kita lah pemilik nikmat Islam dan Iman, sehingga kita mahu mengambil tahu perkembangannya, supaya kita menunjukkan bahawa kita benar-benar menghargainya, supaya kita memerhatikan kekurangan nilainya di dalam diri kita hingga dapat dibaiki dari semasa ke semasa. Dan supaya bertambah cinta dan rindu kita kepada Yang telah Memberikan nikmat ini. Yang mana pada natijahnya saya mengharapkan diri saya dan pembaca sekalian dapat menterjemahkan kefahaman kita dalam bentuk amalan.

ISLAM AGAMA FITRAH

             “Mengapa perlu aku dikaitkan dengan Islam?”  -astaghfirullah-

                 Ayat yang tidak patut sama sekali berlegar di jiwa seorang mukmin, yang mengimani bahawa Allah adalah Rabb dan Ilah. Namun mungkin saja syaitan pernah membisikkan keraguan seperti ini kepada seseorang daripada kita. Pasakkan dalam hati kita, Islam lah agama yang benar lagi diredhai Allah.

“Sesungguhnya agama disisi Allah adalah Islam.” (Surah Ali-Imran : 19)

“Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci baersih) maka kedua-dua ibu bapanyalah yang mencorakkannya sama ada menjadi yahudi, nasrani atau majusi.” (HD Riwayat Bukhari)

“Agama Allah. Siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? Dan kepadaNya kami menyembah.” (Al-Baqarah : 138)

                Selaku seorang yang diciptakan, yang berasal dari setitis air yang dipandang hina, yang lahirnya kita bukan pula dari tempat yang mulia, maka apakah wajar kita berpaling dari Allah?

                Sedangkan Allah amat mencintai kita. Allah menciptakan bumi untuk kita diami. Allah ciptakan haiwan dan tumbuhan sebagai sumber makanan kita. Allah ciptakan matahari untuk menghangatkan kita. Untuk menghidupkan kita yang seorang ini, Allah cipta itu dan ini, atur pula perjalanan hidup kita sebaiknya. *Dalam istilah mereka yang belajar pengurusan perniagaan, Allah sebenarnya telah mengeluarkan modal besar untuk menghidupkan seorang yang namanya Abdullah, seorang yang namanya Sofia, Aisyah, Safira, Badar, dan siapapun nama kamu. Bagi mereka yang biasa menjalankan program, tentu kamu tahu sekali rumitnya urusan untuk mengatur itu ini.

*(Untuk difikir dari kacamata seorang hamba yang lemah, bukan dinilai dengan “Allah itu Tuhan,segalanya mudah untuk Dia.”Kita ini tidak sedikit pun memberi manfaat dan mudharat padaNya.)

Maka apakah layak, selepas semua yang Allah telah lakukan untuk kita, untuk kita berpaling dari mengingatiNya, dari mentaatiNya, dari mencintaiNya?

Ada pula yang tanya,

“Benarkah Allah mengatur yang terbaik untukku? Mengapa semuanya nampak payah?”

J = Pertamanya, perlu diingat dan diulangkaji tauhid asma’ wa sifat. Allah itu bersifat dengan segala sifat kesempurnaan. Maka melakukan yang terbaik adalah sifat Allah, buat kerja sambil lewa dan bermain-main itu tidak layak bagiNya.

“Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main, dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada kami? Maka Maha Tinggi Allah, Raja yang sebenarnya : tidak ada Tuhan selain Dia. Tuhan (yang mempunyai) ‘arasy yang mulia.” (Surah Al-Mukminun : 115-116)

Maha suci Allah dari bersifat dengan sifat yang tidak layak bagiNya.

Keduanya, mengapa semunya nampak payah ye? Jawapannya boleh jadi berkait sekitar kefahaman kita dan jua soal sikap kita, bagaimana kita bentuk cara kita berfikir.

“Dan mereka merancang, dan Allah juga merancang. Dan Allah adalah sebaik-baik perancang.” (Surah Ali-Imran : 54)

Kuncinya di sini, kukuhkan kefahaman kita tantang ilmu kita. Pelajaran tauhid yang diulangajar dan ulangkaji dari kecil hingga kini, apakah kita benar-benar faham?

Yang kedua, cara pandang dan cara kita menilai suatu kejadian di depan kita.

Nampak payah?              

Teringat sms dari kawan-kawan :

“Kita minta kepada Allah setangkai bunga cantik dan segar,

 Dia beri kita kaktus berduri.

Kita minta kupu-kupu yang berwarna-warni,

 diberinya kita ulat..

Terus kita sedih dan kecewa,namun tetap bersabar

Tapi, tak lama kemudian kaktus itu berbunga indah sekali,

Dan ulat itu berubah menjadi kupu-kupu yang cantik.

Begitulah cara Allah mengasihi hambaNya, selalu indah pada waktunya.”

Nice. Itu perasaan saya masa mula-mula membaca mesej itu.

 

ISLAM AKU DAN ISLAM KAMU

                Islam merupakan kalimah Arab yang membawa makna “penyerahan”. Ertinya, apabila seseorang itu mengatakan bahawa dia seorang Islam yang islam, dia harus menyerahkan diri dan segala yang dibawah tanggungannya (tenaga,masa,harta,hayat dll) agar tunduk di bawah kuasa Allah.

                Mari kita bercakap tentang ISLAM. Apa itu Islam? Suatu cara hidup. Hemm….macam mana nak bagi nampak apa itu Islam? Kita bayangkan begini lah (hakikatnya, penyerahan jiwa seorang muslim itu lebih daripada yang dibandingkan di sini) . Apabila seorang guru berkata,

“Ahmad, serahkan buku tulis kamu.”

Oleh kerana Ahmad pelajar yang taat, maka Ahmad pun mengambil bukunya, lalu membawanya untuk diserahkan kepada cikgunya.

                Berbicara tentang Islam, yakni penyerahan jiwa seorang hamba kepada Tuhannya, seharusnya situasi itu lah jua yang tergambar di minda kita. Kerana mahu menjadi hambaNya yang baik lagi taat, maka apabila diperintahkan agar berserah diri, marilah sama-sama kita ‘mengambil’ jiwa dan segala yang dipimpin kita (anggota, akal, kelebihan dan sebagainya) berjalan menuju Ilahi untuk diserahkan kepada Dia yang berhak.

“Dan tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku” (Surah Adz-Dzariyaat : 56 )

Mari kita berfikir lagi.

Suatu masa dahulu, kita pernah menjadi bayi. Lahir ke dunia tanpa mampu melakukan apapun, melainkan berteriak sekali sekala bagi menyatakan keinginan itu dan ini. Seolah-olah kita dengan pasrah menyerahkan diri kepada insan yang melahirkan kita, yakni ibu kita. Kita bersuara hanya dengan satu tangisan. UNTUK MENYATAKAN PELBAGAI PERMINTAAN, KITA GUNAKAN HANYA SATU TANGISAN. Suara-suara seperti 

“mama, kakak lapar!”

“ummi,adik nak mandi!”

“ibu, saya sakit perut!”

“mak, kita nak gi toilet la..”

“mother,,,, nak adik baaaaru..”  dan yang sewaktu dengannya diganti dengan bunyi

“WUAAAAAAAAAAAAAAAAA !!!!!!!!!!”

Dan dia yang melahirkan kita mampu memahami suara kita. Seorang anak kecil begitu berserah kepada ibunya. Teman, jangan sampai kita kalah dengan anak kecil itu. Mari kita berserah kepada Allah, jiwa dan raga. Wahai pemuda, bakarlah semangatmu dengan api cinta kepadaNya.

Sahabat, pandang lah dengan hati. Izinkan diri kamu mengambil manfaat dari persekitaran kamu. Betapa Allah mahu mengajar kita. Betapa Allah sangat mahu kita memerhati ayat-ayatNya di sekeliling kita. Bukan kah telah diulang berkali-kali di dalam kitab suci Al-Quran, ayat-ayat untuk mengalih perhatian kita seumpama ini :

“DAN JUGA PADA DIRI KAMU, MAKA APAKAH KAMU TIDAK MEMERHATIKAN?” (Surah adz-Dzariyaat : 21)

“…UPAHKU HANYALAH DARI ALLAH YANG TELAH MENCIPTAKANKU. TIDAKKAH KAMU MENGERTI?” (Surah Hud :51)

“….DEMIKIANLAH SEBAHAGIAN TANDA-TANDA KEKUASAAN ALLAH, MUDAH-MUDAHAN MEREKA INGAT” (Surah Al-A’raaf : 26)

“….BAGIMU TIDAK ADA SEORANG PUN PENOLONG DAN PEMBERI SYAFAAT SELAIN DIA. MAKA APAKAH KAMU TIDAK MEMERHATIKAN?” (As-Sajdah : 4)

“DAN KEHIDUPAN DUNIA INI HANYALAH PERMAINAN.SEDANGKAN NEGERI AKHIRAT ITU SUNGGUH ADALAH LEBIH BAIK BAGI ORANG-ORANG YANG BERTAQWA.TIDAKKAH KAMU MENGERTI?” (Al-An’am : 32)

Bukankah Al-Quran itu syumul? Selongkarilah khazanah yang terkandung di dalamnya. Bacalah Al-Quran dengan penuh tadabbur, dengan penuh penghayatan. Nescaya kita akan mendapati ia adalah seindah-indah kalam yang disampaikan oleh Yang Maha Lembut kepada hamba-hambaNya yang banyak khilaf seperti kita. KITA HANYALAH SEORANG HAMBA. Apa pendapat kamu tentang kedudukan seorang hamba andai hari ini dunia masih lagi mengamalkan sistem penghambaan?

Wahai saudara-saudara seakidahku, saat ini…hadirkan hati kita menghadap Allah, bersama kita bermuhasabah.

Pada ayat yang berbunyi :

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepadaNya. DAN JANGANLAH KAMU MATI MELAINKAN DALAM KEADAAN KAMU SEORANG ISLAM” (Ali Imran : 102)

apakah yang kita faham?

apakah pula yang tergambar di kotak fikiran kita?

apakah tindakan kita selanjutnya?

Ayuh bergerak. Ayat diatas dimulakan seruannya dengan memanggil sekalian mereka yang beriman.

Yakin lah tanpa syak wahai sahabat,

KITA LAH PEMILIK NIKMAT ISLAM DAN IMAN INI.

MAKA ISLAM AKU DAN ISLAM KAMU, MARI KITA SEMPURNAKAN.

Selamanya hamba.

~saudara kamu dalam keimanan~

Bismillahi wal hamdulillah was solatu was salamu ‘ala Rasulillah..

Aku terlanggar seorang asing semasa berjalan,
“Oh maafkan saya, saya tak perasan”

Katanya “Maafkan saya juga,
Saya tak nampak saudara”

Kami amat bersopan dan saling menghormati,
Kami saling melambai sambil berlalu pergi,

Tetapi di rumah lain pula ceritanya,
Bagaimana kita melayan orang tersayang, tua dan muda,

Lewat petang, tika memasak makan malam,
Anak lelaki kecilku berdiri di dapur secara diam-diam,

Bila berpaling aku hampir melanggarnya jatuh,
Jerkahku, “Jangan buat kacau di sini, pergi main jauh-jauh”

Dia berlalu pergi, hatinya hancur luluh dan beku,
Aku tak sedar, bertapa kasarnya kata-kataku,

Sedangku berbaring di katil mendengar musik,
Terdengar suara halus datang membisik,

“Bila bersama orang tak dikenali,
Begitu bersopan dan merendah diri,
Tetapi ahli keluarga tersayang, sering dimarah dan dicaci”,

“Cubalah kau pergi lihat di lantai dapur,
Kan kau temui bunga-bungaan berterabur”,

“Itu adalah bunga-bunga dibawanya untuk kamu,
Dia memetiknya sendiri, kuning, biru dan unggu”,

“Dia berdiri senyap agar jadi kejutan buat kamu,
Kamu tak pernah sedar airmatanya yang datang bertamu”,

Pada tika ini, aku merasa amat kecil sekali,
Airmataku mencurah ibarat air di kali,

Senyap-senyap ku kebiliknya, dan melutut di katil,
“Bangunlah, anakku, bangunlah si kecil”

“Apakah bunga-bunga ini dipetik untuk mak?
Dia tersenyum, “Adik terjumpanya belakang rumah di semak”

“Adik memetiknya kerana ia cantik seperti ibu,
ibu tentu suka terutama yang unggu,

“Maafkan ibu, atas sikap ibu hari ini,
Ibu tak harus menjerkah kamu, sebegini,

Katanya,”Oh, ibu, itu tak mengapa,
Saya tetap sayang ibu melebihi segala,

Bisikku, “Anakku, ibu pun sayang kamu,
dan ibu suka bunga itu, terutama yang unggu,

FAMILY

Adakah kamu sedar, sekiranya kita mati hari ini,
syarikat tempat kita berkerja akan senang-senang mendapat pengganti,
dalam hanya beberapa hari?

Tetapi keluarga yang kita tinggalkan,
akan merasa kehilangan kita sepanjang hayat.

Dan sedarlah, sekiranya kita menghabiskan masa kita kepada kerja,
Melebihi keluarga kita, adalah merupakan suatu pelaburan yang tidak bijak.
Bukankah begitu?

Wallahu a’lam

My Ta’akhi

 

Buatmu ta’akhi ku..

Panas bukan penghalang,

Sejuk bukan pengekang

Soif & syita’ fasa praktikal


 

Segelas ‘aseer di musim panas

Kuhulur buatmu

Sehelai baju panas di tengah malam dingin

Ku sarungkan khusus buatmu

 

Sungguh

Ukhuwwah kita lebih membahagiakan aku

Berbanding dua perkara tadi

 

Cinta ini bukan sekadar madah

Bahkan lebih dari itu,

Aku mencintaimu hanya kerana Dia,

yang menciptakan cinta

Ukhuwwah kita,

Moga kekal hingga ke syurgaNya

  

 

~sofiyyukum~

1150pm 21/12/2010

Cairo > Syukran Sahabat

my brother's heart

teman soleh membawa ke syurga 🙂

Bismillah Wal hamdulillah Was solatu was salamu ‘ala Rasulillah wa ba’d.

Ta’akhi.

Setiap kali mendengar istilah ini, pasti senyuman lah yang akan terlukis di wajah. Perkataan ini banyak mengundang kenangan-kenangan indah hadir ke kotak fikiran.

Syukur padaMu Allah, Kau hadirkan insan-insan soleh dalam hidupku, yang memahami, yang sentiasa menguatkan di kala virus kelemahan datang menyerang, yang mendoakan tiap kali usai solat, yang tidak jemu menasihati tatkala diri ini disapa kelalaian. Atas nikmatMu yang ini, ALHAMDULILLAH..Sebaik-baik kalimah yang mampu kuucap sebagai gambaran betapa aku mensyukuri nikmatMu yang ini. Aku berjanji agar akan sentiasa berusaha untuk menunaikan hak-hak persaudaraan sebaiknya.

Kenangan lama

Kalau ada yang bertanya..

“Taakhi-taakhi ni apa dia? Makhluk yang rupanya macam mana? Tak pernah dengar pun.”

Hmm..mungkin pendahuluan jawapan saya adalah senyuman. Mana tak nya. Penggunaan istilah taakhi masih gharib di kalangan orang melayu walaupun kaitannya dengan ukhuwwah teramat rapat. Mungkin kerana kurangnya kupasan tajuk taakhi ini oleh ustaz-ustaz dalam ceramah pengajian dan tazkirah-tazkirah. Tulisan-tulisan para penyeru agama Allah baik kitab mahupun blog, jarang menumpukan focus perbincangan secara detail tentang taakhi. Sedangkan ia merupakan perkara penting di dalam pembinaan daulah islamiyyah suatu ketika dahulu. Lahirnya tokoh-tokoh Islam yang berketrampilan turut diasaskan sedikit sebanyak oleh konsep taakhi fillah di dalam Islam. Jadi tidak boleh disalahkan orang awam kerana tidak mempunyai ilmu tentang taakhi kerana terhadnya sumber yang boleh dicari berkenaan taakhi.

Saya? Saya sendiri pertama kali mendengar tentang taakhi ini ketika sudah berumur 13 tahun. Ketika memakai lencana Sekolah Menengah Islam Puchong (SMIP), seperti mana sekolah lain, SMIP juga mengadakan sesi suaikenal.Maka di sini saya terpanggil untuk menulis sedikit pengetahuan yang telah Allah ajar buat perkongsian bersama.

Berbeza dengan kebanyakan sekolah lain, SMIP menjalankan program orientasi pelajar selama seminggu. Program ini yang kami panggil “Minggu Ta’aruf Wa At-Ta’akhi”

Dari program ini lah saya diajar tentang ta’aruf baik dari segi adabnya,batasnya juga asas-asasnya dalam Islam. Ketika itu jugalah saya didedahkan apa itu taakhi. Kami dididik tentang ukhuwah dan ikhtilat. Alhamdulillah, kami antara insane bertuah yang tertpilih untuk menerima pendedahan awal di sekolah. Dan lebih bertuah apabila kami melaksanakannya sesuai dengan tuntutan Islam. Dan lebih celaka kami yang belajar ini dari mereka yang tidak belajar andai kami membelakangkan apa jua ilmu yang telah Allah berkenan untuk mengajarkannya kepada kami.

Pengenalan : Asal Kalimah Serta Asas dari Quran dan Sunnah (sirah)

Ta’akhi merupakan perkataan Bahasa Arab yang bermaksud persaudaraan. Pentingnya ta’akhi dapat dilihat pada asasnya yang dirakam dalam sirah nabawiyah dan juga produk-produk cemerlang yang telah lahir hasil madrasah ‘taakhi’ ini.

Besarnya perkara ta’akhi ini sehingga Allah ilhamkan kepada junjungan besar Rasul SAW agar mempersaudarakan (ta’akha) Muhajirin dan Ansar setelah hijrah baginda ke Madinah. Berdasarkan sirah, baginda Rasul telah merangka dan melaksanakan tiga perkara sebagai strategi asas untuk menguatkan Islam dan merancang agar ketuanan Islam terpellihara.

Yang pertama : Pembinaan Masjid Nabawi.

Yang kedua : Ta’akha bainal muhajirin wal ansar. (Mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar)

Yang ketiga : Membentuk perlembagaan bertulis yang melibatkan kaum Muhajirin, Ansar dan Yahudi.

Berkenaan pelaksanaan strategi kedua dilakukan oleh Rasulullah, yakni persaudaraan Muhajirin dan Ansar, suka saya datangkan kepada pembaca satu qaul oleh Doktor Mustafa As-Siba’ie. Beliau merupakan penulis kitab As-sirah An-Nabawiyyah Durus Wa ‘Ibar yang menjadi rujukan sebahagian besar siswa siswi Islam, baik orang Arab mahupun orang ‘Ajam. Kitab ini turut dijadikan silibus/manhaj bagi sebahagian jamaah islamiyyah dan usrah-usrah.

Dinukil di dalam kitab beliau:

“Adalah baginda Rasul mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar , maka bagi setiap orang Ansar itu ada Akh (saudaranya) yang tersendiri dari kalangan Muhajirin. Dan orang Al-Ansar telah membawa saudaranya Al-Muhajir ke rumah, lalu dia mempersilakan kepada saudaranya untuk berkongsi setiap sesuatu (harta) yang ada di dalam rumahnya.”

Turut dicatatkan pada bahagian pengajaran kitab tersebut mengenai tindakan Rasulullah ini :

“Peristiwa persaudaraan Muhajirin dan Ansar ini merupakan bukti yang sangat kukuh, bahawa Islam membawa keadilan sejagat dalam membentuk keperibadian seseorang dari segi akhlak islamiyyah dan nilai kemanusiaan. Kaum Muhajirin merupakan golongan yang meninggalkan harta benda mereka kerana Allah, mereka datang  ke Madinah dalam keadaan sehelai sepinggang, tanpa memiliki sesuatu pun barang secebis dari harta dunia. Kaum Ansar pula kaum yang memiliki kekayaan tanaman dan harta. Maka seorang saudara ketika itu bertanggungjawab menjaga kebajikan saudaranya. Dia (seorang saudara itu) berkongsi kesenangan serta kesusahan hidup bersama saudaranya, berkongsi tempat berteduh sementelah rumahnya mampu menampung mereka berdua, memberikan pula separuh dari hartanya memandangkan dia mampu untuk itu, bagi memudahkan saudaranya. Maka apakah wujud di dunia ini keadilan sosial yang menandingi ukhuwwah ini?”

“Sesungguhnya orang-orang yang menafikan kenyataan bahawa terdapat keadilan sosial sebegini di dalam Islam, mereka adalah suatu kaum yang tidak mahu melihat Islam bersinar dengan cemerlang di mata manusia dan tidak mahu Islam bertakhta di hati ummah. Mereka juga merupakan kaum yang keras, lagi bencikan setiap perkara baru walaupun manusia mencintai perkara tersebut. Perkara ini ada buktinya di dalam Islam. Jika tidak, bagaimana keadilan sosial di dalam Islam ini boleh dipertikaikan sedangkan peristiwa ‘‘mu‘akhat” ini telah diukir di dalam lipatan sejarah. Peristiwa ini diperteguhkan sendiri oleh Sahib Asy-Syariah Muhammad SAW , diangkat dengan kemuliaan baginda nabi, didirikan pula di atas asas mu‘akhat ini suatu komuniti yang maju dan negara pertama yang menggazetkannya?”

“Maha Suci Engkau Ya Allah!! Ini merupakan suatu tipu daya yang besar !!”

Kepentingan taakhi : melahirkan produk yang cemerlang

Antara pasangan ta’akhi yang mahsyur kisahnya adalah Salman Al-Farisi + Abu Darda’ dan Abdur Rahman bin ‘Auf + Sa’ad bin Rabi’.

Kisah Satu

Diriwayatkan bahawa suatu ketika beliau pernah menziarahi Abu Darda’, yang dipersaudarakan oleh Nabi dengannya ketika sampai di Madinah. Beliau dapati isteri Abu Darda’ berada dalam keadaan tidak terurus lalu beliau pun bertanya:

“Mengapa dengan engkau ini?”

“Saudaramu tidak lagi menghiraukan dunia ini,” jawabnya.

Bila Abu Darda’ datang, dia menyambut kedatangan Salman dan menjamunya makanan. Salman menyuruhnya makan tetapi Abu Darda’ berkata:

“Aku sedang berpuasa.”

“Aku bersumpah tidak akan makan kecuali engkau juga memakannya.”

Salman bermalam di rumah Abu Darda’. Pada waktu malam, Abu Darda’ bangun tetapi Salman memegangnya lalu berkata:

“Hai Abu Darda’! Tuhanmu mempunyai hak ke atasmu. Keluargamu mempunyai hak ke atasmu dan dirimu juga mempunyai hak ke atasmu. Maka berikanlah hak kepada masing-masingnya.”

Pada waktu subuh, mereka solat berjamaah. Kemudian, mereka keluar menemui Rasulullah SAW dan menceritakan kisah yang telah berlaku. Rasulullah SAW menyokong perbuatan Salman itu.

Sebagai seorang yang terpelajar, Salman terkenal kerana ilmunya yang luas dan hikmah kebijaksanaannya. Ali berkata mengenainya bahawa beliau seperti Luqman Al-Hakim.

Kaab Al-Akhbar berkata:

“Salman dipenuhi dengan ilmu dan kebijaksanaan – seperti lautan yang tidak pernah kering airnya.”

Menurut riwayat yang sahih, beliau meninggal dunia pada tahun 35 Hijrah, di zaman Khalifah Uthman bin Affan, di Madain. Beliau meninggalkan tiga orang anak perempuan, yang seorang tinggal di Asfahan, manakala dua orang lagi tinggal di Mesir.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, bahawa Nabi SAW pernah berkumpul dengan para sahabat baginda termasuk Salman Al-Farizi. Sambil memegang bahu Salman, Rasulullah SAW bersabda:

“Jika iman itu tergantung di bintang Suraya di langit, pasti akan dicapai oleh seorang lelaki dari bangsa Farsi ini.”

Kisah Dua

” … dan berkatalah Sa’ad kepada Abdurrahman: “Saudaraku, aku adalah penduduk Madinah yang kaya raya, silakan pilih separoh hartaku dan ambillah! Dan aku mempunyai dua orang isteri, coba perhatikan yang lebih menarik perhatian anda, akan kuceraikan ia hingga anda dapat memperisterinya……! Jawab Abdurrahman bin ‘Auf: “Moga-moga Allah memberkati anda, isteri dan harta anda ! Tunjukkanlah letaknya pasar agar aku dapat berniaga….! Abdurrahman pergi ke pasar, dan berjual belilah di sana…….ia pun beroleh keuntungan …! Kehidupan Abdurrahman bin ‘Auf di Madinah baik semasa Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Salam maupun sesudah wafatnya terus meningkat · · · Barang apa Saja yang ia pegang dan dijadikannya pokok perniagaan pasti menguntungkannya. Seluruh usahanya ini ditujukan untuk mencapai ridla Allah semata, sebagai bekal di alam baqa kelak…..! Yang menjadikan perniagaannya berhasil dan beroleh berkat karena ia selalu bermodal dan berniaga barang yang halal dan menjauhkan diri dari perbuatan haram bahkan yang syubhat Seterusnya yang menambah kejayaan dan diperolehnya berkat, karena labanya bukan untuk Abdurrahman sendiri . · · tapi di dalamnya terdapat bagian Allah yang ia penuhi dengan setepat-tepatnya, pula digunakannya untuk memperkokoh hubungan kekeluargaan serta membiayai sanak saudaranya, serta menyediakan perlengkapan yang diperlukan tentara Islam ….. Bila jumlah modal niaga dan harta kekayaan yang lainnya ditambah keuntungannya yang diperolehnya, maka jumlah kekayaan Abdurrahman bin ‘Auf itu dapat dikira-kirakan apabila kita memperhatikan nilai dan jumlah yang dibelanjakannya pada jalan Allah Rabbul’alamin! Pada suatu hati ia mendengar Rasulullah saw. bersabda: “Wahai ibnu ‘Auf! anda termasuh golongan orang kaya dan anda akan masuk surga secara perlahan-lahan….! Pinjamkanlah kekayaan itu kepada Allah, pasti Allah mempermudah langkah anda….!” Semenjak ia mendengar nasihat Rasulullah ini dan ia menyediakan bagi AIlah pinjaman yang balk, maka Allah pun memberi ganjaran kepadanya dengan berlipat ganda. Di suatu hari ia menjual tanah seharga 40 ribu dinar, kemudian uang itu dibagi-bagikannya semua untuk keluarganya dari Bani Zuhrah, untuk para isteri Nabi dan untuk kaum fakir miskin.
Diserahkannya pada suatu hari limaratus ekor kuda untuk perlengkapan balatentara islam …dan di hari yang lain seribu limaratus kendaraan. Menjelang wafatnya ia berwasiat lima puluh ribu dinar untuk jalan Allah, lain diwasiatkannya pula bagi setiap orang yang ikut perang Badar dan masih hidup, masing-masing empat ratus dinar, hingga Utsman bin Affan r.a. yang terbilang kaya juga mengambil bagiannya dari wasiat itu, serta katanya:”Harta Abdurrahman bin ‘Auf halal lagi bersih, dan memakan harta itu membawa selamat dan berkat”.

Dari kedua-dua kisah di atas, kepentingan ta’akhi ini tidak dapat dinafikan lagi. Dari kisah pertama, dapat kita lihatbagaimana halusnya uslub Salman Al-Farisi dalam menasihati dan menyedarkan saudaranya Abu Darda’. Persaudaraan mereka merupakan salah satu wasilah bagi Abu Darda’ dalam memahami Islam dengan benar.

Kisah yang kedua pula menyaksikan persaudaraan Abdur Rahman bin ‘Auf dan Saad bin Rabi’ telah melahirkan seorang tokoh usahawan Islam yang cemerlang, lagi menjadi contoh buat ummah sehingga ke hari ini.

Penutup : Tindakan kita.

Marilah kita bersama-sama mencontohi Rasulullah dan para sahabat di dalam menjalin persaudaraan islamiyyah. Muhasabah kembali, berapa ramai senior di kalangan kita (baik pelajar sekolah asrama mahupun universiti,lebih-lebih lagi yang tinggal di asrama) yang mengikuti sunnah yang ini. Setinggi mana kah rasa sensitif kita dalam mengikut sunnah baginda Rasul? Sedalam manakah pula cinta kita pada baginda? Dan melalui apakah kita membuktikan kata-kata kita?

Salam ukhuwwah fillah dari saya (“,) .

Rujukan : Kitab As Sirah An Nabawiyyah Durus Wa ‘Ibar karya Doktor Mustafa As Siba’ie

http://jalanakhirat.wordpress.com/2010/03/30/salman-al-farisi/

p/s : Taakhi saya kak rozana masnan (“,)

Syita’ ini

Syita’ ini,

Terkenangkan dia

Dia perit berlapar, ‘aku’ makan seenaknya

Dia membanting tulang, nyaman ‘aku’ berselimut

Dia berjuang, ‘aku’ bersenang-lenang

Dia berperang, ‘aku’ bersantai lapang

 

Andai ada yang bertanya

Siapa dia?

Dan siapa pula ‘aku’?

Jawabnya mudah,

Dia adalah Rasulullah,

Sedangkan ‘aku’ adalah

umatnya yang kian lalai

dari memaknakan erti sebuah perjuangan

 

Ingin aku kembali

Aku mahu menjadi mujahid

Aku mahu seperti zahid

 

Izinkan kususuri jejak anbiya’

Mahu sekali aku menjiwai sirah nabawiyah

Moga bersama di syurga kelak

 

 

~khusus buat teman di perantauan~

Udara kian dingin

saifulmujahid

0615 AM, Cairo