have faith in ALLAH

Posts tagged ‘sudden’

TIBA-TIBA AKU MATI..

BIASA TERJADI…
Zaman-zaman sekolah dulu, seringkali apabila cikgu mengadakan kuiz atau test mengejut  bagi tajuk yang sudah dipelajari, rata-rata pelajar akan mengeluh.

“Cikgu, awat tak habaq awai-awai nak buat kuiz hari ni? Kami satu apa pun tak prepare.”

Bila dijemput pula secara rawak untuk berucap sebagai wakil pelajar dalam program tertentu di sekolah, akan kedengaran ayat yang begitu familiar di telinga para pendengar sebagai muqaddimah ;

“Sebenarnya takde apa saya nak cakap, dipanggil pun mufaja’ah (tiba-tiba) ni.”

Kadang-kadang, apabila diminta untuk memberikan sedikit sharing, tazkirah dan sebagainya, lebih kurang beginilah jawapannya ;

“Errr… Maaf kak, saya tak sedialah..”

KITA KAN SEORANG PEMIMPIN

Sabda Rasulullah SAW dalam hadisnya yang mulia ;

“Ketahuilah! Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab akan kepimpinannya. Seorang ketua (amir) yang memimpin rakyat adalah pemimpin dan dia bertanggungjawab akan kepimpinannya. Seorang lelaki adalah pemimpin atas keluarganya dan dia bertanggungjawab akan kepimpinannya. Seorang wanita adalah pemimpin di rumah tangga suami dan anak-anaknya, dia bertanggungjawab akan kepimpinannya.  Hamba sahaya (menurut suatu riwayat, dan pelayan) adalah pemimpin atas harta majikannya  dan akan ditanya mengenai kepimpinannya. Ketahuilah! Setiap kamu adalah pemimpin dan tiap-tiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya.

(sahih Muslim, hadis 1796)

Dijelaskan dalam hadis di atas, setiap kita adalah pemimpin.

Lafaz yang digunakan adalah “Setiap kamu adalah pemimpin”.

Maknanya, kesemua kita, tanpa pengecualian. Itulah yang Rasulullah maklumkan pada kita. Maka kita perlu sentiasa memainkan peranan sebagai seorang pemimpin, biarpun kita tidak punya jawatan di dalam mana-mana organisasi. Hal ini kerana kita mempunyai taklifan sebagai seorang pendakwah dan khalifah.

“Barangsiapa yang mengucap Laa ilaaha illaLllah, maka dia adalah pendakwah.” [al-hadis]

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya: Adakah Engkau hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu? Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.”

[Surah Al-Baqarah, ayat 30]

SENTIASA BERSEDIA

Semasa di SMIP (Sek. Men. Islam Puchong) , saya dan sahabat-sahabat pernah mengikuti beberapa siri kem qiadi (kem kepimpinan) .

Dalam salah satu siri kem tersebut, ada satu slot yang akan dijalankan setiap sebelum dan selepas satu-satu modul. Selepas kuliyah maghrib, slot ini. Selepas itu modul. Lepas modul, slot ini lagi, begitulah seterusnya. Slot yang sangat ringkas, dijalankan lebih kurang 10 minit sahaja tetapi meninggalkan kesan yang mendalam kepada kami. Slot ini dinamakan sebagai “impromptu speech”. Sekitar 3minit, peserta yang dipilih perlu memberi ucapan tentang tajuk yang dicabut sendiri secara undi.

Dan yang paling saya ingat, pengendali slot merangkap guru disiplin kami (Us. Hadi) akan mengakhiri slot ini dengan nasihat ;

“Seorang pemimpin perlu sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan!”

Bersedia memberikan pengisian ketika perlu ; tazkirah dan sebagainya. Bersedia dengan kuiz yang tiba-tiba dan sebagainya.

Bersedia dengan apa jua kemungkinan itu sebenarnya melatih kita agar mampu tenang dalam situasi genting, rasional dalam membuat keputusan penting, yang kadang-kadang datang tanpa menunggu kita bersedia!

SECARA LOGIKNYA, SENTIASA BERSEDIA ITU MEMANG PERLU

Lazimnya, kita menyaksikan bahawa seseorang yang diangkat menjadi pemimpin itu adalah seorang yang mempunyai kelebihannya berbanding yang lain.

Ketika mahu diadakan suatu rundingan, tentulah orang yang petah berbicara dan berfikiran jauh dilantik sebagai utusan atau jururunding.

Untuk menjana ekonomi sesebuah organisasi atau negara, perlulah disandarkan kerja itu kepada mereka yang ahli.

Maka setiap pemimpin itu harus mengasah kelebihannya.
Ilmu pengetahuan seorang pemimpin harus lebih (berterusan mendalami ilmu).
Pemimpin itu harus lebih bijak mengendali emosi, lebih rajin, lebih bersungguh-sungguh, lebih menepati masa dan lebih lebih lebih yang lain lagi (yang positif).

Disebut di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 247 yang bermaksud :

“Nabi mereka berkata kepada mereka : sesungguhnya Allah telah mengangka Thalut menjadi rajamu. Mereka menjawab : Bagaimana Thalut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedang dia tidak diberikan kekayaanyang banyak? (Nabi mereka) berkata : Sesungguhnya Allah telah memilihnyamenjadi rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa. Allah memberikan pemerintahan kepada siapa yang dikehendakiNya. Dan Allah Maha Luas pemberianNya lagi Maha Mengetahui.”
Itulah Thalut, seorang pemimpin yang dicatat sedikit kisahnya di dalam kitab suci Al-Qur’an. Ilmunya luas, fizikalnya melayakkan dia memimpin yakni sihat dan bertenaga.

Dari ayat di atas dapat kita faham, pemimpin itu seorang yang Allah lebihkan dia dari setengah yang lain. Kelebihan itu pula tiada kaitan dengan nilai kebendaan dan material.

Baginda Nabi SAW juga seorang pemimpin ummah, dan baginda dituruti hanya kerana kebenaran, bukan dibantu faktor kebendaan.

Maka untuk mengangkat pemimpin itu bukan kemewahan peribadinya yang menjadi ukuran tetapi hubungannya dengan Allah yang harus diperhatikan.

Juga tidak salah seorang yang mempunyai ciri-ciri seorang mukmin diangkat sebagai pemimpin, walaupun dia kaya.

Harta bukanlah faktor utama.

Malah, menurut tafsir Al-Wasit, ayat di atas menunjukkan bahawa seorang pemimpin itu harus mempunyai kekuatan intelek, sihat tubuh badan, mepunyai keluasan ilmu serta menyerahkan segala urusan kepada Allah, setelah berusaha.

Tulisan ini bukan untuk menghukum pemimpin di depan mata pembaca, sebaliknya untuk kita sama-sama muhasabah.

Setiap kita adalah pemimpin. Maka berusahalah agar kita ini berada di tahap yang layak memimpin.

Memimpin adalah suatu amanah, bukan pilihan.

Tidak layak bagi seorang yang celik matanya untuk dipimpin setiap langkahnya. Berjalan lah sendiri, namun jangan sampai tersesat!

Jadilah, -paling tidak-  pemimpin kepada diri sendiri. Pimpin roh kita mendekati Allah, pimpinlah ia ke jalan syurga.

Agar kelak ketika diseru “Hai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hambaKu. Dan masuklah syurgaKu.” (Surah Al-Fajr, ayat 27-30) kita juga turut bergerak ke arah Allah.

USAHALAH AGAR SENTIASA BERSEDIA
Yakinlah dengan hadis Rasulullah SAW, kita ini seorang pemimpin.
Maka pasakkan dalam fikiran,

“Aku perlu sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan.”

Jangan sampai nanti, saat malakul maut datang untuk mengambil nyawa, kita pula menjawab ;

“Err….esok-esok boleh tak datang semula? Kau datang tiba-tiba, aku tak sempat nak bersedia!”

Mati kan datang secara mufaja’ah juga?

“Orang yang bijak itu adalah mereka yang menghitung diri (muhasabah) dan beramal untuk perkara setelah mati (hari kiamat).”
<AL-HADIS>

Salam muhasabah, salam juang!

Advertisements