have faith in ALLAH

Islam aku dan Islam kamu


Bismillah,

Wal hamdulillah,

Was solatu was salamu ‘ala Rasulillah. Wa ba’d.

 
 
 

"The best way to predict your future is to creat it"

 

Salam buat semua, moga terus bergerak ke arah kebaikan. Bicara hari ini tentang Islam dan Iman 🙂 . Moga Allah ampuni segala yang terlebih dan terkurang dan semoga Allah masih sudi memandu kita dengan hidayahNya.

MUQADDIMAH : SEBESAR-BESAR NIKMAT

                Syukur kepada Allah, kita antara yang Allah pilih untuk menerima dua nikmat yang terbesar, yang tidak semua 6.5 billion penghuni dunia bertuah memilikinya, ALHAMDULILLAH . Nikmat yang saya maksudkan sudah pastinya nikmat IMAN DAN ISLAM .

                Pahit atau manis, suka atau pun tidak, perlu kita akui akan suatu hakikat. Hakikat bahawa sekarang ini terlalu ramai ummah yang tidak menyedari kehadiran dua nikmat terbesar ini.

 Jika kamu kata ramai yang tahu dan mengaku mereka juga dikurniakan nikmat ini, benar. Saya setuju dengan kamu. Tapi fikirkan kembali, apakah kita sebenarnya sekadar tahu, atau sedar dengan pasti, bahawa kita benar-benar menganggap Islam dan Iman ini merupakan suatu nikmat.

Imbas sahaja kembali hari-hari ketika kita masih di bangku sekolah rendah dahulu. Ibu bapa membekalkan wang saku sebanyak RM5 sehari. Wahh…ini memang suatu yang kita anggap nikmat. Masakan tidak. Rata-rata teman kita hanya dibekalkan sekitar RM2 atau RM3. Kita menyedari nikmat pemberian ibu bapa kita, lantas wang RM5 itu kita manfaatkan sebaiknya. Tidak kita biarkan bersepah di mana-mana, tidak kita bazirkan begitu sahaja, bahkan kita teliti sama ada wang itu kita simpan di dalam saku atau dompet, kita congak perbelanjaan dan baki dalam tangan kita. Pendek kata, kita ambil tahu hampir segala yang berkaitan duit kita nan sekeping itu! Kerana apa? Tidak hanya tahu itu suatu nikmat, bahkan kesedaran serta kepercayaan kita itulah yang mendorong agar kita begitu mengambil berat akan duit itu. Aliran keluarnya ke mana dibelanjakan, tempat simpannya di mana supaya tidak terlupakan, hatta kepada siapa dipinjamkan supaya nanti mudah urusan tuntutan juga kita amati. Apa puncanya? Percaya atau tidak, hanyalah kerana kita sedar itu nikmat milik kita, hanya kerana kita menghargai pemberian ibu bapa tercinta.

Saya mengharapkan bermula saat ini, kita merasakan bahawa kita lah pemilik nikmat Islam dan Iman, sehingga kita mahu mengambil tahu perkembangannya, supaya kita menunjukkan bahawa kita benar-benar menghargainya, supaya kita memerhatikan kekurangan nilainya di dalam diri kita hingga dapat dibaiki dari semasa ke semasa. Dan supaya bertambah cinta dan rindu kita kepada Yang telah Memberikan nikmat ini. Yang mana pada natijahnya saya mengharapkan diri saya dan pembaca sekalian dapat menterjemahkan kefahaman kita dalam bentuk amalan.

ISLAM AGAMA FITRAH

             “Mengapa perlu aku dikaitkan dengan Islam?”  -astaghfirullah-

                 Ayat yang tidak patut sama sekali berlegar di jiwa seorang mukmin, yang mengimani bahawa Allah adalah Rabb dan Ilah. Namun mungkin saja syaitan pernah membisikkan keraguan seperti ini kepada seseorang daripada kita. Pasakkan dalam hati kita, Islam lah agama yang benar lagi diredhai Allah.

“Sesungguhnya agama disisi Allah adalah Islam.” (Surah Ali-Imran : 19)

“Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci baersih) maka kedua-dua ibu bapanyalah yang mencorakkannya sama ada menjadi yahudi, nasrani atau majusi.” (HD Riwayat Bukhari)

“Agama Allah. Siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? Dan kepadaNya kami menyembah.” (Al-Baqarah : 138)

                Selaku seorang yang diciptakan, yang berasal dari setitis air yang dipandang hina, yang lahirnya kita bukan pula dari tempat yang mulia, maka apakah wajar kita berpaling dari Allah?

                Sedangkan Allah amat mencintai kita. Allah menciptakan bumi untuk kita diami. Allah ciptakan haiwan dan tumbuhan sebagai sumber makanan kita. Allah ciptakan matahari untuk menghangatkan kita. Untuk menghidupkan kita yang seorang ini, Allah cipta itu dan ini, atur pula perjalanan hidup kita sebaiknya. *Dalam istilah mereka yang belajar pengurusan perniagaan, Allah sebenarnya telah mengeluarkan modal besar untuk menghidupkan seorang yang namanya Abdullah, seorang yang namanya Sofia, Aisyah, Safira, Badar, dan siapapun nama kamu. Bagi mereka yang biasa menjalankan program, tentu kamu tahu sekali rumitnya urusan untuk mengatur itu ini.

*(Untuk difikir dari kacamata seorang hamba yang lemah, bukan dinilai dengan “Allah itu Tuhan,segalanya mudah untuk Dia.”Kita ini tidak sedikit pun memberi manfaat dan mudharat padaNya.)

Maka apakah layak, selepas semua yang Allah telah lakukan untuk kita, untuk kita berpaling dari mengingatiNya, dari mentaatiNya, dari mencintaiNya?

Ada pula yang tanya,

“Benarkah Allah mengatur yang terbaik untukku? Mengapa semuanya nampak payah?”

J = Pertamanya, perlu diingat dan diulangkaji tauhid asma’ wa sifat. Allah itu bersifat dengan segala sifat kesempurnaan. Maka melakukan yang terbaik adalah sifat Allah, buat kerja sambil lewa dan bermain-main itu tidak layak bagiNya.

“Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main, dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada kami? Maka Maha Tinggi Allah, Raja yang sebenarnya : tidak ada Tuhan selain Dia. Tuhan (yang mempunyai) ‘arasy yang mulia.” (Surah Al-Mukminun : 115-116)

Maha suci Allah dari bersifat dengan sifat yang tidak layak bagiNya.

Keduanya, mengapa semunya nampak payah ye? Jawapannya boleh jadi berkait sekitar kefahaman kita dan jua soal sikap kita, bagaimana kita bentuk cara kita berfikir.

“Dan mereka merancang, dan Allah juga merancang. Dan Allah adalah sebaik-baik perancang.” (Surah Ali-Imran : 54)

Kuncinya di sini, kukuhkan kefahaman kita tantang ilmu kita. Pelajaran tauhid yang diulangajar dan ulangkaji dari kecil hingga kini, apakah kita benar-benar faham?

Yang kedua, cara pandang dan cara kita menilai suatu kejadian di depan kita.

Nampak payah?              

Teringat sms dari kawan-kawan :

“Kita minta kepada Allah setangkai bunga cantik dan segar,

 Dia beri kita kaktus berduri.

Kita minta kupu-kupu yang berwarna-warni,

 diberinya kita ulat..

Terus kita sedih dan kecewa,namun tetap bersabar

Tapi, tak lama kemudian kaktus itu berbunga indah sekali,

Dan ulat itu berubah menjadi kupu-kupu yang cantik.

Begitulah cara Allah mengasihi hambaNya, selalu indah pada waktunya.”

Nice. Itu perasaan saya masa mula-mula membaca mesej itu.

 

ISLAM AKU DAN ISLAM KAMU

                Islam merupakan kalimah Arab yang membawa makna “penyerahan”. Ertinya, apabila seseorang itu mengatakan bahawa dia seorang Islam yang islam, dia harus menyerahkan diri dan segala yang dibawah tanggungannya (tenaga,masa,harta,hayat dll) agar tunduk di bawah kuasa Allah.

                Mari kita bercakap tentang ISLAM. Apa itu Islam? Suatu cara hidup. Hemm….macam mana nak bagi nampak apa itu Islam? Kita bayangkan begini lah (hakikatnya, penyerahan jiwa seorang muslim itu lebih daripada yang dibandingkan di sini) . Apabila seorang guru berkata,

“Ahmad, serahkan buku tulis kamu.”

Oleh kerana Ahmad pelajar yang taat, maka Ahmad pun mengambil bukunya, lalu membawanya untuk diserahkan kepada cikgunya.

                Berbicara tentang Islam, yakni penyerahan jiwa seorang hamba kepada Tuhannya, seharusnya situasi itu lah jua yang tergambar di minda kita. Kerana mahu menjadi hambaNya yang baik lagi taat, maka apabila diperintahkan agar berserah diri, marilah sama-sama kita ‘mengambil’ jiwa dan segala yang dipimpin kita (anggota, akal, kelebihan dan sebagainya) berjalan menuju Ilahi untuk diserahkan kepada Dia yang berhak.

“Dan tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku” (Surah Adz-Dzariyaat : 56 )

Mari kita berfikir lagi.

Suatu masa dahulu, kita pernah menjadi bayi. Lahir ke dunia tanpa mampu melakukan apapun, melainkan berteriak sekali sekala bagi menyatakan keinginan itu dan ini. Seolah-olah kita dengan pasrah menyerahkan diri kepada insan yang melahirkan kita, yakni ibu kita. Kita bersuara hanya dengan satu tangisan. UNTUK MENYATAKAN PELBAGAI PERMINTAAN, KITA GUNAKAN HANYA SATU TANGISAN. Suara-suara seperti 

“mama, kakak lapar!”

“ummi,adik nak mandi!”

“ibu, saya sakit perut!”

“mak, kita nak gi toilet la..”

“mother,,,, nak adik baaaaru..”  dan yang sewaktu dengannya diganti dengan bunyi

“WUAAAAAAAAAAAAAAAAA !!!!!!!!!!”

Dan dia yang melahirkan kita mampu memahami suara kita. Seorang anak kecil begitu berserah kepada ibunya. Teman, jangan sampai kita kalah dengan anak kecil itu. Mari kita berserah kepada Allah, jiwa dan raga. Wahai pemuda, bakarlah semangatmu dengan api cinta kepadaNya.

Sahabat, pandang lah dengan hati. Izinkan diri kamu mengambil manfaat dari persekitaran kamu. Betapa Allah mahu mengajar kita. Betapa Allah sangat mahu kita memerhati ayat-ayatNya di sekeliling kita. Bukan kah telah diulang berkali-kali di dalam kitab suci Al-Quran, ayat-ayat untuk mengalih perhatian kita seumpama ini :

“DAN JUGA PADA DIRI KAMU, MAKA APAKAH KAMU TIDAK MEMERHATIKAN?” (Surah adz-Dzariyaat : 21)

“…UPAHKU HANYALAH DARI ALLAH YANG TELAH MENCIPTAKANKU. TIDAKKAH KAMU MENGERTI?” (Surah Hud :51)

“….DEMIKIANLAH SEBAHAGIAN TANDA-TANDA KEKUASAAN ALLAH, MUDAH-MUDAHAN MEREKA INGAT” (Surah Al-A’raaf : 26)

“….BAGIMU TIDAK ADA SEORANG PUN PENOLONG DAN PEMBERI SYAFAAT SELAIN DIA. MAKA APAKAH KAMU TIDAK MEMERHATIKAN?” (As-Sajdah : 4)

“DAN KEHIDUPAN DUNIA INI HANYALAH PERMAINAN.SEDANGKAN NEGERI AKHIRAT ITU SUNGGUH ADALAH LEBIH BAIK BAGI ORANG-ORANG YANG BERTAQWA.TIDAKKAH KAMU MENGERTI?” (Al-An’am : 32)

Bukankah Al-Quran itu syumul? Selongkarilah khazanah yang terkandung di dalamnya. Bacalah Al-Quran dengan penuh tadabbur, dengan penuh penghayatan. Nescaya kita akan mendapati ia adalah seindah-indah kalam yang disampaikan oleh Yang Maha Lembut kepada hamba-hambaNya yang banyak khilaf seperti kita. KITA HANYALAH SEORANG HAMBA. Apa pendapat kamu tentang kedudukan seorang hamba andai hari ini dunia masih lagi mengamalkan sistem penghambaan?

Wahai saudara-saudara seakidahku, saat ini…hadirkan hati kita menghadap Allah, bersama kita bermuhasabah.

Pada ayat yang berbunyi :

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepadaNya. DAN JANGANLAH KAMU MATI MELAINKAN DALAM KEADAAN KAMU SEORANG ISLAM” (Ali Imran : 102)

apakah yang kita faham?

apakah pula yang tergambar di kotak fikiran kita?

apakah tindakan kita selanjutnya?

Ayuh bergerak. Ayat diatas dimulakan seruannya dengan memanggil sekalian mereka yang beriman.

Yakin lah tanpa syak wahai sahabat,

KITA LAH PEMILIK NIKMAT ISLAM DAN IMAN INI.

MAKA ISLAM AKU DAN ISLAM KAMU, MARI KITA SEMPURNAKAN.

Selamanya hamba.

~saudara kamu dalam keimanan~

Comments on: "Islam aku dan Islam kamu" (2)

  1. ana cm terase ana belum bg jwpn lg kt enti…hehe.

  2. mukmin_qawiyy said:

    🙂 …..blh sembg pnjg len kali,,
    ana cm mimpi g abbasiyyah la..
    ana tunggu jwpn itu..

Leave a comment