have faith in ALLAH

Archive for the ‘sahabat’ Category

Islam aku dan Islam kamu

Bismillah,

Wal hamdulillah,

Was solatu was salamu ‘ala Rasulillah. Wa ba’d.

 
 
 

"The best way to predict your future is to creat it"

 

Salam buat semua, moga terus bergerak ke arah kebaikan. Bicara hari ini tentang Islam dan Iman 🙂 . Moga Allah ampuni segala yang terlebih dan terkurang dan semoga Allah masih sudi memandu kita dengan hidayahNya.

MUQADDIMAH : SEBESAR-BESAR NIKMAT

                Syukur kepada Allah, kita antara yang Allah pilih untuk menerima dua nikmat yang terbesar, yang tidak semua 6.5 billion penghuni dunia bertuah memilikinya, ALHAMDULILLAH . Nikmat yang saya maksudkan sudah pastinya nikmat IMAN DAN ISLAM .

                Pahit atau manis, suka atau pun tidak, perlu kita akui akan suatu hakikat. Hakikat bahawa sekarang ini terlalu ramai ummah yang tidak menyedari kehadiran dua nikmat terbesar ini.

 Jika kamu kata ramai yang tahu dan mengaku mereka juga dikurniakan nikmat ini, benar. Saya setuju dengan kamu. Tapi fikirkan kembali, apakah kita sebenarnya sekadar tahu, atau sedar dengan pasti, bahawa kita benar-benar menganggap Islam dan Iman ini merupakan suatu nikmat.

Imbas sahaja kembali hari-hari ketika kita masih di bangku sekolah rendah dahulu. Ibu bapa membekalkan wang saku sebanyak RM5 sehari. Wahh…ini memang suatu yang kita anggap nikmat. Masakan tidak. Rata-rata teman kita hanya dibekalkan sekitar RM2 atau RM3. Kita menyedari nikmat pemberian ibu bapa kita, lantas wang RM5 itu kita manfaatkan sebaiknya. Tidak kita biarkan bersepah di mana-mana, tidak kita bazirkan begitu sahaja, bahkan kita teliti sama ada wang itu kita simpan di dalam saku atau dompet, kita congak perbelanjaan dan baki dalam tangan kita. Pendek kata, kita ambil tahu hampir segala yang berkaitan duit kita nan sekeping itu! Kerana apa? Tidak hanya tahu itu suatu nikmat, bahkan kesedaran serta kepercayaan kita itulah yang mendorong agar kita begitu mengambil berat akan duit itu. Aliran keluarnya ke mana dibelanjakan, tempat simpannya di mana supaya tidak terlupakan, hatta kepada siapa dipinjamkan supaya nanti mudah urusan tuntutan juga kita amati. Apa puncanya? Percaya atau tidak, hanyalah kerana kita sedar itu nikmat milik kita, hanya kerana kita menghargai pemberian ibu bapa tercinta.

Saya mengharapkan bermula saat ini, kita merasakan bahawa kita lah pemilik nikmat Islam dan Iman, sehingga kita mahu mengambil tahu perkembangannya, supaya kita menunjukkan bahawa kita benar-benar menghargainya, supaya kita memerhatikan kekurangan nilainya di dalam diri kita hingga dapat dibaiki dari semasa ke semasa. Dan supaya bertambah cinta dan rindu kita kepada Yang telah Memberikan nikmat ini. Yang mana pada natijahnya saya mengharapkan diri saya dan pembaca sekalian dapat menterjemahkan kefahaman kita dalam bentuk amalan.

ISLAM AGAMA FITRAH

             “Mengapa perlu aku dikaitkan dengan Islam?”  -astaghfirullah-

                 Ayat yang tidak patut sama sekali berlegar di jiwa seorang mukmin, yang mengimani bahawa Allah adalah Rabb dan Ilah. Namun mungkin saja syaitan pernah membisikkan keraguan seperti ini kepada seseorang daripada kita. Pasakkan dalam hati kita, Islam lah agama yang benar lagi diredhai Allah.

“Sesungguhnya agama disisi Allah adalah Islam.” (Surah Ali-Imran : 19)

“Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci baersih) maka kedua-dua ibu bapanyalah yang mencorakkannya sama ada menjadi yahudi, nasrani atau majusi.” (HD Riwayat Bukhari)

“Agama Allah. Siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? Dan kepadaNya kami menyembah.” (Al-Baqarah : 138)

                Selaku seorang yang diciptakan, yang berasal dari setitis air yang dipandang hina, yang lahirnya kita bukan pula dari tempat yang mulia, maka apakah wajar kita berpaling dari Allah?

                Sedangkan Allah amat mencintai kita. Allah menciptakan bumi untuk kita diami. Allah ciptakan haiwan dan tumbuhan sebagai sumber makanan kita. Allah ciptakan matahari untuk menghangatkan kita. Untuk menghidupkan kita yang seorang ini, Allah cipta itu dan ini, atur pula perjalanan hidup kita sebaiknya. *Dalam istilah mereka yang belajar pengurusan perniagaan, Allah sebenarnya telah mengeluarkan modal besar untuk menghidupkan seorang yang namanya Abdullah, seorang yang namanya Sofia, Aisyah, Safira, Badar, dan siapapun nama kamu. Bagi mereka yang biasa menjalankan program, tentu kamu tahu sekali rumitnya urusan untuk mengatur itu ini.

*(Untuk difikir dari kacamata seorang hamba yang lemah, bukan dinilai dengan “Allah itu Tuhan,segalanya mudah untuk Dia.”Kita ini tidak sedikit pun memberi manfaat dan mudharat padaNya.)

Maka apakah layak, selepas semua yang Allah telah lakukan untuk kita, untuk kita berpaling dari mengingatiNya, dari mentaatiNya, dari mencintaiNya?

Ada pula yang tanya,

“Benarkah Allah mengatur yang terbaik untukku? Mengapa semuanya nampak payah?”

J = Pertamanya, perlu diingat dan diulangkaji tauhid asma’ wa sifat. Allah itu bersifat dengan segala sifat kesempurnaan. Maka melakukan yang terbaik adalah sifat Allah, buat kerja sambil lewa dan bermain-main itu tidak layak bagiNya.

“Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main, dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada kami? Maka Maha Tinggi Allah, Raja yang sebenarnya : tidak ada Tuhan selain Dia. Tuhan (yang mempunyai) ‘arasy yang mulia.” (Surah Al-Mukminun : 115-116)

Maha suci Allah dari bersifat dengan sifat yang tidak layak bagiNya.

Keduanya, mengapa semunya nampak payah ye? Jawapannya boleh jadi berkait sekitar kefahaman kita dan jua soal sikap kita, bagaimana kita bentuk cara kita berfikir.

“Dan mereka merancang, dan Allah juga merancang. Dan Allah adalah sebaik-baik perancang.” (Surah Ali-Imran : 54)

Kuncinya di sini, kukuhkan kefahaman kita tantang ilmu kita. Pelajaran tauhid yang diulangajar dan ulangkaji dari kecil hingga kini, apakah kita benar-benar faham?

Yang kedua, cara pandang dan cara kita menilai suatu kejadian di depan kita.

Nampak payah?              

Teringat sms dari kawan-kawan :

“Kita minta kepada Allah setangkai bunga cantik dan segar,

 Dia beri kita kaktus berduri.

Kita minta kupu-kupu yang berwarna-warni,

 diberinya kita ulat..

Terus kita sedih dan kecewa,namun tetap bersabar

Tapi, tak lama kemudian kaktus itu berbunga indah sekali,

Dan ulat itu berubah menjadi kupu-kupu yang cantik.

Begitulah cara Allah mengasihi hambaNya, selalu indah pada waktunya.”

Nice. Itu perasaan saya masa mula-mula membaca mesej itu.

 

ISLAM AKU DAN ISLAM KAMU

                Islam merupakan kalimah Arab yang membawa makna “penyerahan”. Ertinya, apabila seseorang itu mengatakan bahawa dia seorang Islam yang islam, dia harus menyerahkan diri dan segala yang dibawah tanggungannya (tenaga,masa,harta,hayat dll) agar tunduk di bawah kuasa Allah.

                Mari kita bercakap tentang ISLAM. Apa itu Islam? Suatu cara hidup. Hemm….macam mana nak bagi nampak apa itu Islam? Kita bayangkan begini lah (hakikatnya, penyerahan jiwa seorang muslim itu lebih daripada yang dibandingkan di sini) . Apabila seorang guru berkata,

“Ahmad, serahkan buku tulis kamu.”

Oleh kerana Ahmad pelajar yang taat, maka Ahmad pun mengambil bukunya, lalu membawanya untuk diserahkan kepada cikgunya.

                Berbicara tentang Islam, yakni penyerahan jiwa seorang hamba kepada Tuhannya, seharusnya situasi itu lah jua yang tergambar di minda kita. Kerana mahu menjadi hambaNya yang baik lagi taat, maka apabila diperintahkan agar berserah diri, marilah sama-sama kita ‘mengambil’ jiwa dan segala yang dipimpin kita (anggota, akal, kelebihan dan sebagainya) berjalan menuju Ilahi untuk diserahkan kepada Dia yang berhak.

“Dan tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku” (Surah Adz-Dzariyaat : 56 )

Mari kita berfikir lagi.

Suatu masa dahulu, kita pernah menjadi bayi. Lahir ke dunia tanpa mampu melakukan apapun, melainkan berteriak sekali sekala bagi menyatakan keinginan itu dan ini. Seolah-olah kita dengan pasrah menyerahkan diri kepada insan yang melahirkan kita, yakni ibu kita. Kita bersuara hanya dengan satu tangisan. UNTUK MENYATAKAN PELBAGAI PERMINTAAN, KITA GUNAKAN HANYA SATU TANGISAN. Suara-suara seperti 

“mama, kakak lapar!”

“ummi,adik nak mandi!”

“ibu, saya sakit perut!”

“mak, kita nak gi toilet la..”

“mother,,,, nak adik baaaaru..”  dan yang sewaktu dengannya diganti dengan bunyi

“WUAAAAAAAAAAAAAAAAA !!!!!!!!!!”

Dan dia yang melahirkan kita mampu memahami suara kita. Seorang anak kecil begitu berserah kepada ibunya. Teman, jangan sampai kita kalah dengan anak kecil itu. Mari kita berserah kepada Allah, jiwa dan raga. Wahai pemuda, bakarlah semangatmu dengan api cinta kepadaNya.

Sahabat, pandang lah dengan hati. Izinkan diri kamu mengambil manfaat dari persekitaran kamu. Betapa Allah mahu mengajar kita. Betapa Allah sangat mahu kita memerhati ayat-ayatNya di sekeliling kita. Bukan kah telah diulang berkali-kali di dalam kitab suci Al-Quran, ayat-ayat untuk mengalih perhatian kita seumpama ini :

“DAN JUGA PADA DIRI KAMU, MAKA APAKAH KAMU TIDAK MEMERHATIKAN?” (Surah adz-Dzariyaat : 21)

“…UPAHKU HANYALAH DARI ALLAH YANG TELAH MENCIPTAKANKU. TIDAKKAH KAMU MENGERTI?” (Surah Hud :51)

“….DEMIKIANLAH SEBAHAGIAN TANDA-TANDA KEKUASAAN ALLAH, MUDAH-MUDAHAN MEREKA INGAT” (Surah Al-A’raaf : 26)

“….BAGIMU TIDAK ADA SEORANG PUN PENOLONG DAN PEMBERI SYAFAAT SELAIN DIA. MAKA APAKAH KAMU TIDAK MEMERHATIKAN?” (As-Sajdah : 4)

“DAN KEHIDUPAN DUNIA INI HANYALAH PERMAINAN.SEDANGKAN NEGERI AKHIRAT ITU SUNGGUH ADALAH LEBIH BAIK BAGI ORANG-ORANG YANG BERTAQWA.TIDAKKAH KAMU MENGERTI?” (Al-An’am : 32)

Bukankah Al-Quran itu syumul? Selongkarilah khazanah yang terkandung di dalamnya. Bacalah Al-Quran dengan penuh tadabbur, dengan penuh penghayatan. Nescaya kita akan mendapati ia adalah seindah-indah kalam yang disampaikan oleh Yang Maha Lembut kepada hamba-hambaNya yang banyak khilaf seperti kita. KITA HANYALAH SEORANG HAMBA. Apa pendapat kamu tentang kedudukan seorang hamba andai hari ini dunia masih lagi mengamalkan sistem penghambaan?

Wahai saudara-saudara seakidahku, saat ini…hadirkan hati kita menghadap Allah, bersama kita bermuhasabah.

Pada ayat yang berbunyi :

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepadaNya. DAN JANGANLAH KAMU MATI MELAINKAN DALAM KEADAAN KAMU SEORANG ISLAM” (Ali Imran : 102)

apakah yang kita faham?

apakah pula yang tergambar di kotak fikiran kita?

apakah tindakan kita selanjutnya?

Ayuh bergerak. Ayat diatas dimulakan seruannya dengan memanggil sekalian mereka yang beriman.

Yakin lah tanpa syak wahai sahabat,

KITA LAH PEMILIK NIKMAT ISLAM DAN IMAN INI.

MAKA ISLAM AKU DAN ISLAM KAMU, MARI KITA SEMPURNAKAN.

Selamanya hamba.

~saudara kamu dalam keimanan~

My Ta’akhi

 

Buatmu ta’akhi ku..

Panas bukan penghalang,

Sejuk bukan pengekang

Soif & syita’ fasa praktikal


 

Segelas ‘aseer di musim panas

Kuhulur buatmu

Sehelai baju panas di tengah malam dingin

Ku sarungkan khusus buatmu

 

Sungguh

Ukhuwwah kita lebih membahagiakan aku

Berbanding dua perkara tadi

 

Cinta ini bukan sekadar madah

Bahkan lebih dari itu,

Aku mencintaimu hanya kerana Dia,

yang menciptakan cinta

Ukhuwwah kita,

Moga kekal hingga ke syurgaNya

  

 

~sofiyyukum~

1150pm 21/12/2010

Cairo > Syukran Sahabat

Ta’akhi Saya (“,)

my brother's heart

teman soleh membawa ke syurga 🙂

Bismillah Wal hamdulillah Was solatu was salamu ‘ala Rasulillah wa ba’d.

Ta’akhi.

Setiap kali mendengar istilah ini, pasti senyuman lah yang akan terlukis di wajah. Perkataan ini banyak mengundang kenangan-kenangan indah hadir ke kotak fikiran.

Syukur padaMu Allah, Kau hadirkan insan-insan soleh dalam hidupku, yang memahami, yang sentiasa menguatkan di kala virus kelemahan datang menyerang, yang mendoakan tiap kali usai solat, yang tidak jemu menasihati tatkala diri ini disapa kelalaian. Atas nikmatMu yang ini, ALHAMDULILLAH..Sebaik-baik kalimah yang mampu kuucap sebagai gambaran betapa aku mensyukuri nikmatMu yang ini. Aku berjanji agar akan sentiasa berusaha untuk menunaikan hak-hak persaudaraan sebaiknya.

Kenangan lama

Kalau ada yang bertanya..

“Taakhi-taakhi ni apa dia? Makhluk yang rupanya macam mana? Tak pernah dengar pun.”

Hmm..mungkin pendahuluan jawapan saya adalah senyuman. Mana tak nya. Penggunaan istilah taakhi masih gharib di kalangan orang melayu walaupun kaitannya dengan ukhuwwah teramat rapat. Mungkin kerana kurangnya kupasan tajuk taakhi ini oleh ustaz-ustaz dalam ceramah pengajian dan tazkirah-tazkirah. Tulisan-tulisan para penyeru agama Allah baik kitab mahupun blog, jarang menumpukan focus perbincangan secara detail tentang taakhi. Sedangkan ia merupakan perkara penting di dalam pembinaan daulah islamiyyah suatu ketika dahulu. Lahirnya tokoh-tokoh Islam yang berketrampilan turut diasaskan sedikit sebanyak oleh konsep taakhi fillah di dalam Islam. Jadi tidak boleh disalahkan orang awam kerana tidak mempunyai ilmu tentang taakhi kerana terhadnya sumber yang boleh dicari berkenaan taakhi.

Saya? Saya sendiri pertama kali mendengar tentang taakhi ini ketika sudah berumur 13 tahun. Ketika memakai lencana Sekolah Menengah Islam Puchong (SMIP), seperti mana sekolah lain, SMIP juga mengadakan sesi suaikenal.Maka di sini saya terpanggil untuk menulis sedikit pengetahuan yang telah Allah ajar buat perkongsian bersama.

Berbeza dengan kebanyakan sekolah lain, SMIP menjalankan program orientasi pelajar selama seminggu. Program ini yang kami panggil “Minggu Ta’aruf Wa At-Ta’akhi”

Dari program ini lah saya diajar tentang ta’aruf baik dari segi adabnya,batasnya juga asas-asasnya dalam Islam. Ketika itu jugalah saya didedahkan apa itu taakhi. Kami dididik tentang ukhuwah dan ikhtilat. Alhamdulillah, kami antara insane bertuah yang tertpilih untuk menerima pendedahan awal di sekolah. Dan lebih bertuah apabila kami melaksanakannya sesuai dengan tuntutan Islam. Dan lebih celaka kami yang belajar ini dari mereka yang tidak belajar andai kami membelakangkan apa jua ilmu yang telah Allah berkenan untuk mengajarkannya kepada kami.

Pengenalan : Asal Kalimah Serta Asas dari Quran dan Sunnah (sirah)

Ta’akhi merupakan perkataan Bahasa Arab yang bermaksud persaudaraan. Pentingnya ta’akhi dapat dilihat pada asasnya yang dirakam dalam sirah nabawiyah dan juga produk-produk cemerlang yang telah lahir hasil madrasah ‘taakhi’ ini.

Besarnya perkara ta’akhi ini sehingga Allah ilhamkan kepada junjungan besar Rasul SAW agar mempersaudarakan (ta’akha) Muhajirin dan Ansar setelah hijrah baginda ke Madinah. Berdasarkan sirah, baginda Rasul telah merangka dan melaksanakan tiga perkara sebagai strategi asas untuk menguatkan Islam dan merancang agar ketuanan Islam terpellihara.

Yang pertama : Pembinaan Masjid Nabawi.

Yang kedua : Ta’akha bainal muhajirin wal ansar. (Mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar)

Yang ketiga : Membentuk perlembagaan bertulis yang melibatkan kaum Muhajirin, Ansar dan Yahudi.

Berkenaan pelaksanaan strategi kedua dilakukan oleh Rasulullah, yakni persaudaraan Muhajirin dan Ansar, suka saya datangkan kepada pembaca satu qaul oleh Doktor Mustafa As-Siba’ie. Beliau merupakan penulis kitab As-sirah An-Nabawiyyah Durus Wa ‘Ibar yang menjadi rujukan sebahagian besar siswa siswi Islam, baik orang Arab mahupun orang ‘Ajam. Kitab ini turut dijadikan silibus/manhaj bagi sebahagian jamaah islamiyyah dan usrah-usrah.

Dinukil di dalam kitab beliau:

“Adalah baginda Rasul mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar , maka bagi setiap orang Ansar itu ada Akh (saudaranya) yang tersendiri dari kalangan Muhajirin. Dan orang Al-Ansar telah membawa saudaranya Al-Muhajir ke rumah, lalu dia mempersilakan kepada saudaranya untuk berkongsi setiap sesuatu (harta) yang ada di dalam rumahnya.”

Turut dicatatkan pada bahagian pengajaran kitab tersebut mengenai tindakan Rasulullah ini :

“Peristiwa persaudaraan Muhajirin dan Ansar ini merupakan bukti yang sangat kukuh, bahawa Islam membawa keadilan sejagat dalam membentuk keperibadian seseorang dari segi akhlak islamiyyah dan nilai kemanusiaan. Kaum Muhajirin merupakan golongan yang meninggalkan harta benda mereka kerana Allah, mereka datang  ke Madinah dalam keadaan sehelai sepinggang, tanpa memiliki sesuatu pun barang secebis dari harta dunia. Kaum Ansar pula kaum yang memiliki kekayaan tanaman dan harta. Maka seorang saudara ketika itu bertanggungjawab menjaga kebajikan saudaranya. Dia (seorang saudara itu) berkongsi kesenangan serta kesusahan hidup bersama saudaranya, berkongsi tempat berteduh sementelah rumahnya mampu menampung mereka berdua, memberikan pula separuh dari hartanya memandangkan dia mampu untuk itu, bagi memudahkan saudaranya. Maka apakah wujud di dunia ini keadilan sosial yang menandingi ukhuwwah ini?”

“Sesungguhnya orang-orang yang menafikan kenyataan bahawa terdapat keadilan sosial sebegini di dalam Islam, mereka adalah suatu kaum yang tidak mahu melihat Islam bersinar dengan cemerlang di mata manusia dan tidak mahu Islam bertakhta di hati ummah. Mereka juga merupakan kaum yang keras, lagi bencikan setiap perkara baru walaupun manusia mencintai perkara tersebut. Perkara ini ada buktinya di dalam Islam. Jika tidak, bagaimana keadilan sosial di dalam Islam ini boleh dipertikaikan sedangkan peristiwa ‘‘mu‘akhat” ini telah diukir di dalam lipatan sejarah. Peristiwa ini diperteguhkan sendiri oleh Sahib Asy-Syariah Muhammad SAW , diangkat dengan kemuliaan baginda nabi, didirikan pula di atas asas mu‘akhat ini suatu komuniti yang maju dan negara pertama yang menggazetkannya?”

“Maha Suci Engkau Ya Allah!! Ini merupakan suatu tipu daya yang besar !!”

Kepentingan taakhi : melahirkan produk yang cemerlang

Antara pasangan ta’akhi yang mahsyur kisahnya adalah Salman Al-Farisi + Abu Darda’ dan Abdur Rahman bin ‘Auf + Sa’ad bin Rabi’.

Kisah Satu

Diriwayatkan bahawa suatu ketika beliau pernah menziarahi Abu Darda’, yang dipersaudarakan oleh Nabi dengannya ketika sampai di Madinah. Beliau dapati isteri Abu Darda’ berada dalam keadaan tidak terurus lalu beliau pun bertanya:

“Mengapa dengan engkau ini?”

“Saudaramu tidak lagi menghiraukan dunia ini,” jawabnya.

Bila Abu Darda’ datang, dia menyambut kedatangan Salman dan menjamunya makanan. Salman menyuruhnya makan tetapi Abu Darda’ berkata:

“Aku sedang berpuasa.”

“Aku bersumpah tidak akan makan kecuali engkau juga memakannya.”

Salman bermalam di rumah Abu Darda’. Pada waktu malam, Abu Darda’ bangun tetapi Salman memegangnya lalu berkata:

“Hai Abu Darda’! Tuhanmu mempunyai hak ke atasmu. Keluargamu mempunyai hak ke atasmu dan dirimu juga mempunyai hak ke atasmu. Maka berikanlah hak kepada masing-masingnya.”

Pada waktu subuh, mereka solat berjamaah. Kemudian, mereka keluar menemui Rasulullah SAW dan menceritakan kisah yang telah berlaku. Rasulullah SAW menyokong perbuatan Salman itu.

Sebagai seorang yang terpelajar, Salman terkenal kerana ilmunya yang luas dan hikmah kebijaksanaannya. Ali berkata mengenainya bahawa beliau seperti Luqman Al-Hakim.

Kaab Al-Akhbar berkata:

“Salman dipenuhi dengan ilmu dan kebijaksanaan – seperti lautan yang tidak pernah kering airnya.”

Menurut riwayat yang sahih, beliau meninggal dunia pada tahun 35 Hijrah, di zaman Khalifah Uthman bin Affan, di Madain. Beliau meninggalkan tiga orang anak perempuan, yang seorang tinggal di Asfahan, manakala dua orang lagi tinggal di Mesir.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, bahawa Nabi SAW pernah berkumpul dengan para sahabat baginda termasuk Salman Al-Farizi. Sambil memegang bahu Salman, Rasulullah SAW bersabda:

“Jika iman itu tergantung di bintang Suraya di langit, pasti akan dicapai oleh seorang lelaki dari bangsa Farsi ini.”

Kisah Dua

” … dan berkatalah Sa’ad kepada Abdurrahman: “Saudaraku, aku adalah penduduk Madinah yang kaya raya, silakan pilih separoh hartaku dan ambillah! Dan aku mempunyai dua orang isteri, coba perhatikan yang lebih menarik perhatian anda, akan kuceraikan ia hingga anda dapat memperisterinya……! Jawab Abdurrahman bin ‘Auf: “Moga-moga Allah memberkati anda, isteri dan harta anda ! Tunjukkanlah letaknya pasar agar aku dapat berniaga….! Abdurrahman pergi ke pasar, dan berjual belilah di sana…….ia pun beroleh keuntungan …! Kehidupan Abdurrahman bin ‘Auf di Madinah baik semasa Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Salam maupun sesudah wafatnya terus meningkat · · · Barang apa Saja yang ia pegang dan dijadikannya pokok perniagaan pasti menguntungkannya. Seluruh usahanya ini ditujukan untuk mencapai ridla Allah semata, sebagai bekal di alam baqa kelak…..! Yang menjadikan perniagaannya berhasil dan beroleh berkat karena ia selalu bermodal dan berniaga barang yang halal dan menjauhkan diri dari perbuatan haram bahkan yang syubhat Seterusnya yang menambah kejayaan dan diperolehnya berkat, karena labanya bukan untuk Abdurrahman sendiri . · · tapi di dalamnya terdapat bagian Allah yang ia penuhi dengan setepat-tepatnya, pula digunakannya untuk memperkokoh hubungan kekeluargaan serta membiayai sanak saudaranya, serta menyediakan perlengkapan yang diperlukan tentara Islam ….. Bila jumlah modal niaga dan harta kekayaan yang lainnya ditambah keuntungannya yang diperolehnya, maka jumlah kekayaan Abdurrahman bin ‘Auf itu dapat dikira-kirakan apabila kita memperhatikan nilai dan jumlah yang dibelanjakannya pada jalan Allah Rabbul’alamin! Pada suatu hati ia mendengar Rasulullah saw. bersabda: “Wahai ibnu ‘Auf! anda termasuh golongan orang kaya dan anda akan masuk surga secara perlahan-lahan….! Pinjamkanlah kekayaan itu kepada Allah, pasti Allah mempermudah langkah anda….!” Semenjak ia mendengar nasihat Rasulullah ini dan ia menyediakan bagi AIlah pinjaman yang balk, maka Allah pun memberi ganjaran kepadanya dengan berlipat ganda. Di suatu hari ia menjual tanah seharga 40 ribu dinar, kemudian uang itu dibagi-bagikannya semua untuk keluarganya dari Bani Zuhrah, untuk para isteri Nabi dan untuk kaum fakir miskin.
Diserahkannya pada suatu hari limaratus ekor kuda untuk perlengkapan balatentara islam …dan di hari yang lain seribu limaratus kendaraan. Menjelang wafatnya ia berwasiat lima puluh ribu dinar untuk jalan Allah, lain diwasiatkannya pula bagi setiap orang yang ikut perang Badar dan masih hidup, masing-masing empat ratus dinar, hingga Utsman bin Affan r.a. yang terbilang kaya juga mengambil bagiannya dari wasiat itu, serta katanya:”Harta Abdurrahman bin ‘Auf halal lagi bersih, dan memakan harta itu membawa selamat dan berkat”.

Dari kedua-dua kisah di atas, kepentingan ta’akhi ini tidak dapat dinafikan lagi. Dari kisah pertama, dapat kita lihatbagaimana halusnya uslub Salman Al-Farisi dalam menasihati dan menyedarkan saudaranya Abu Darda’. Persaudaraan mereka merupakan salah satu wasilah bagi Abu Darda’ dalam memahami Islam dengan benar.

Kisah yang kedua pula menyaksikan persaudaraan Abdur Rahman bin ‘Auf dan Saad bin Rabi’ telah melahirkan seorang tokoh usahawan Islam yang cemerlang, lagi menjadi contoh buat ummah sehingga ke hari ini.

Penutup : Tindakan kita.

Marilah kita bersama-sama mencontohi Rasulullah dan para sahabat di dalam menjalin persaudaraan islamiyyah. Muhasabah kembali, berapa ramai senior di kalangan kita (baik pelajar sekolah asrama mahupun universiti,lebih-lebih lagi yang tinggal di asrama) yang mengikuti sunnah yang ini. Setinggi mana kah rasa sensitif kita dalam mengikut sunnah baginda Rasul? Sedalam manakah pula cinta kita pada baginda? Dan melalui apakah kita membuktikan kata-kata kita?

Salam ukhuwwah fillah dari saya (“,) .

Rujukan : Kitab As Sirah An Nabawiyyah Durus Wa ‘Ibar karya Doktor Mustafa As Siba’ie

http://jalanakhirat.wordpress.com/2010/03/30/salman-al-farisi/

p/s : Taakhi saya kak rozana masnan (“,)

Imtihan

Examination_by_ThePhantasmicDead

Bersempena musim exam yang bakal menjelma tidak lama lagi, suka saya coret sedikit tulisan buat tatapan pembaca, khususnya adik-adik junior saya.

KHILAAFU UMMATI RAHMAH

Setiap perkara atas dunia ni, ada sahaja pro dan kontranya. Setiap orang ada pendapat dan pandangan masing-masing. Kebiasaannya, cara pandang seseorang tentang sesuatu isu, perkara malah aktiviti dengan seseorang yang lain berbeza. Kerana sememangnya Allah mencipta kita tidak serupa. Sedar ataupun tidak, perbezaan kita sebenarnya membuatkan hidup kita lebih berwarna, indah dan membawa kebaikan pada kehidupan kita. Dan saya sendiri -insyaAllah- merupakan antara mereka yang cuba bersifat sederhana dalam mendepani perbezaan pendapat, meraikan kepelbagaian. Saya juga suka mengajak para pembaca supaya lebih terbuka dan rasional dalam menghadapi perbezaan.

LALI DAH….

 

Raikan kepelbagaian~ pic. : internal discussion by minotauro9

 

Dalam membincangkan topik exam ini, saya teringat beberapa komentar sahabat-sahabat tentangnya semasa saya masih menuntut di bangku sekolah dulu. Antara yang masih segar dalam ingatan saya sehingga kini ialah ;

-Exam dah dekat, baik kita tumpukan pada strategi untuk dapatkan yang terbaik dalam peperiksaan ni.

+Kenapa pulak…..??? Exam-exam ni dunia je. Kita ni nak ke akhirat, cuba sedar sikit. Mana kau campak sikap zuhud kau pada dunia ni? Kau kata nak jadi hamba rabbani..!!

-Aku rasa tak mampu la nak skor exam kali ni. Urusan badan dakwah banyak lagi yang belum settle. Tanggungjawab aku, takkan nak lepas tangan macam tu aje. Terpaksa la aku terima takdir seadanya.

+Tak nak aku belajar rajin-rajin, buat apa dapat keputusan elok-elok. Mak ayah aku bukan peduli pun. Kerja bergaduh je siang malam. Selama ni aku tertekan dengan diaorang, sekarang rasakan pulak! Tunggu je la result exam aku nanti, aku nak biar berderet je ‘E’.

PELAJAR YANG CELARU.. AKIBATNYA?

Pada sahabat yang pertama, suka saya ingatkan, biarlah kita belajar kerana mengharapkan redha Allah. Dan saya sangat setuju dengan dia. Untuk meraih kejayaan cemerlang dalam peperiksaan, seorang pelajar harus bijak menyusun strategi dan hikmah dalam setiap tindakan ; bermula dari meluruskan niat, mengurus masa, menjaga pemakanan rohani dan fizikal, sehinggalah kepada menjaga hubungan dengan semua pihak yang bersangkut sekitar hidupnya agar berhasil mendapatkan keberkatan, sepertimana cekapnya seorang panglima tentera mengenal musuh untuk menaklukinya, mengatur secanggih-canggih strategi bagi meminimakan tenaga dan masa dalam misi memburu kejayaan yang dicita dan menjaga hubungan dengan pencipta.

Kalam sahabat yang kedua, komen yang mencetuskan kontroversi serta nampak logik andai dinilai tanpa ilmu dan kefahaman tentang konsep ajaran Islam. Hmmm…macam mana ya… First point yang dilontarkan, peperiksaan ini sebahagian dari dunia. Betul, dan kita acapkali mendengar mutiara hikmah orang bijakpandai ;

“ Dunia merupakan ladang (tempat untuk bercucuk tanam) akhirat (tempat menuai hasil).”

Allah juga berfirman  dalam surah :

“ Dan carilah pada kurniaan Allah padamu dari akhirat (pahala dan syurga) dan jangan kau lupa nasib bahagianmu dari dunia. Dan janganlah melakukan kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang membuat kerosakan.  ”

Zuhud..?? Kerana zuhud lah kita perlu kepada dunia, sekadar yang perlu untuk membawa kita menuju redha Allah dengan segala cara yang mampu, termasuklah mengangkat nama Islam sehingga masyarakat terkesan dengan kehebatan Islam. Kalau peperiksaan pun tak nak ambil, siapa pula yang akan menonjol apabila keputusan diumumkan? Berfikir panjanglah wahai sahabat. Kerana mahu menjadi hambaNya yang rabbani jugalah kita perlu menjaga tingkahlaku agar tidak mendatangkan fitnah kepada Islam. Kerana sifat seorang hamba rabbani itu, dia bertindak tidak kerana menurut nafsunya,tetapi dia merujuk terlebih dahulu pada ajaran Islam. Apa pun saya husnuz zhan dengan sahabat tadi, mungkin dia celaru dan tidak bermaksud untuk menimbulkan suasana tidak elok di sekolah.

~ KITA MUSLIM. MAKA KITA MERUPAKAN DUTA ISLAM YANG BERTANGGUNGJAWAB MEMPROMOSIKAN KEINDAHAN ISLAM PADA MASYARAKAT SEJAGAT ~

Seterusnya, sebagai respon kepada sahabat ketiga, kokurikulum, persatuan dan tugasan sebagai seorang pimpinan sekolah. Sangat biasa saya dengari, sesetengah pelajar yang saya katakana celaru ini tadi gemar menjadikan aktif bepersatuan dan tugasan sebagai pimpinan pelajar sebagai alasan kepada keputusan peperiksaan yang tak seberapa. Sedangkan kita perlu faham, sebagai pelajar, tugasan menuntut ilmu itu memang perkara utama dan pertama, tetapi sebagai hamba Allah yang ditaklifkan sebagai khalifah, yang meyakini keesaan Allah, sewajarnya seorang pelajar itu tidak menganggap persatuan dan tanggungjawab sebagai seorang pengawas, AJK badan dakwah dan sebagainya sebagai perkara yang boleh diketepikan. Ingat sahabat-sahabat semua, BELAJAR MERUPAKAN PERKARA PERTAMA YANG MENJADI KEUTAMAAN, TETAPI PERSATUAN (BADAN DISIPLIN / DAKWAH) BUKAN YANG KEDUA. Ramai pelajar ‘muda’ yang terlupa, antara faktor kecemerlangan seseorang adalah kerana membantu saudaranya, tidak semata-mata tertumpu pada menelaah kitab, melazimi latih tubi dan mengulangkaji pelajaran. Ingatlah sabda Rasulullah, antara isinya berbunyi :

“.. dan  sesungguhnya Allah sentiasa akan membantu hambaNya selagi mana hambaNya itu membantu saudaranya..”

-Ishhh….tolong orang,harap balasan……nampak macam tak ikhlas la pulak!

Kaji semula sejarah yang dirakam dalam al-hadis, kisah tiga orang pemuda yang terperangkap dalam sebuah gua yang jalan keluarnya telah dihadang oleh batu yang besar. Setelah mencuba pelbagai cara, batu tersebut tetap tidak dapat dialih. Lalu ketiga-tiga mereka sepakat menyebut amal soleh yang pernah dilakukan dengan ikhlas dan  mengharap redha Allah. Dan dihujung kalam mereka, mereka melafaz doa yang berbunyi :

“Ya Allah, sekiranya amal tersebut kulakukan semata-mata kerana mengharap redhaMu, maka kau bantulah kami.”

Sehingga akhirnya Allah berkenan memberikan pertolongnNya kepada mereka.

Dari kisah ini boleh kita simpulkan bahawa Islam mengizinkan umatnya bertawassul/bertabaruk dengan amalan soleh yang dilakukan. Justeru, tidak salah jika ada pelajar yang berdoa :

“Ya Allah, dengan kerja dakwah ku ini, dengan aku membantu guru-guruku, dengan aku berusaha menyebarkan kefahaman tentang Islam ini, andai ia kulakukan keranaMu, maka bantulah aku, kurniakan ilham agar aku dapat menjawab peperiksaan dengan baik, lapangkan dadaku agar aku mampu untuk tenang, dan kasihi lah aku, agar aku beroleh kejayaan dalam peperiksaan ini.”

-Terima takdir seadanya..?

Hmm….

Dalam ilmu kalam, dijelaskan bahawa takdir itu terbahagi kepada dua, takdir yang telah ditetapkan dan takdir mu’allaq (takdir yang bergantung pada usaha seseorang). Dari sini lah timbul konsep “Takdir itu berada dihujung usaha.”

Jadi saya mengharapkan andai masih ada pelajar yang celaru, da’ie yang keliru, renung-renungkan. Cuba analisis sesuatu data dengan hati, jangan menilai semata-mata dengan apa yang zahir, dengan mata kasar. Amati sebaiknya. Ringkasnya, berfikirlah di luar kotak!

~ SESUATU YANG KECIL JANGAN DIREMEHKAN, PERKARA YANG BESAR JANGAN DIANGGAP SEGALA-GALANYA.~

Belajar memang penting, tetapi ia bukanlah segala-galanya.

Banyak lagi faktor lain yang mempengaruhi kejayaan seseorang.

Membantu orang walau dengan sekadar melemparkan senyuman ikhlas bukanlah perkara besar, tetapi boleh jadi amal yang kita perkecilkan itu menjadi sebab untuk Allah memberi kejayaan kepada kita.

Siapa tahu??

Dan last but not least, kepada sahabat keempat.

Ramai-ramai sahabat, saya paling kasihan dengan yang keempat ini.

Dia mangsa keadaan.

Hmm….hanya boleh cakap, kuatkan semangat. Jelaskan matlamat. Ibu bapa bukan lah matlamat kita sebenarnya. Ketepikan dahulu masalah dengan mereka. Allah matlamat kita, segala yang kita buat hanya untuknya. Semoga Allah beri kekuatan, semoga Allah tunjukkan juga hikmah yang Dia mahu kita pelajari. Hakikatnya, cemerlang atau gagalnya kita, memang ibu bapa turut terkesan, tapi kita lah yang lebih menerima kesannya.

JELASKAN NIAT, SEBAB DAN TUJUAN/MATLAMAT

Nyawa dan kehidupan ini kurniaan Allah. Wajib atas kita mencari redha Allah dalam setiap urusan hidup kita kerana redha Allah adalah segala-galanya. Redha Allah menentukan bahagia dan sengsaranya seorang hamba. Allah memberikan nikmat yang tidak terkira kepada kita, tanpa nikmat dari Allah mustahil kita mengecap segala yang kita senangi, yang kita sayangi dan kita mahukan sepanjang usia kita ini.

Justeru, perbetulkan dan perbaharui niat kita. Hidup ini seluruhnya untuk Allah.

http://www.youtube.com/watch?v=mPWfTKnPg4Y

JANGAN SEPERTI KUCING LIAR


Sahabat-sahabat pembaca tentu sahaja pernah melihat kucing liar. Sifatnya bagaimana?

Hidup tanpa penjagaan, mencari makanan dengan mencuri ikan-ikan dari pasar dan rumah. Tabiat itu memang mengundang kemarahan jua kebencian para peniaga ikan dan suri rumah pada kucing-kucing liar. Kerana apa? Kucing liar ini makan rezeki tanpa redha dan izin pemilik harta tersebut. Marahnya seorang peniaga, kucing yang mencuri hanya seekor ikan, mendapat tendangan sebagai ‘side order’ saya kira,hehe..Bengangnya seorang suri rumah, kucing yang hanya mencuri seketul ayam dihadiahkan air sejuk sebaldi, mungkin pakej, tapi si kucing tak tahu..huhu…-just kidding!-

Nak ceritanya, persamaan dan perbezaan kucing liar dengan kucing yang dipelihara. Saya buat dalam table lah, mudah sikit insyaAllah.

Persamaan : Seekor kucing yang tidak mengancam survival manusia. (^_~)

Contoh perbezaan :

KUCING JINAK (BELA) KUCING LIAR
Pandai bodek tuan,manja Nampak aje dia, aotomatik rasa tak senang
Bila lapar, diberi makan. Kenyang pun kadang-kadang dipaksa makan Kenyang atau lapar, mengharap belas ihsan  manusia pemurah
Bila sakit dibawa jumpa doctor haiwan Sakit matinya tak ramai yang simpati

Persoalannya, mengapa kucing jinak dan kucing liar ini dibeza-bezakan layanannya? Hanya satu FAKTOR UTAMA. Puncanya tak lain tak bukan adalah kerana perbezaan cara kedua-dua kucing tadi mendapatkan makanan. Kucing ‘rumah’ akan memujuk dan bermanja-manja dengan tuannya untuk menarik perhatian dan mendapatkan kasih tuannya. Sedangkan kucing liar lebih suka mencuri sahaja, mengambil sesuatu tanpa redha tuan barang tersebut.

KITA BAGAIMANA?

Apakah kita ini hamba Allah yang mengambil nikmatnya dalam keadaan Allah redha pada kita atau….kita sesuka hati menggunakan nikmat yang Allah kurniakan tanpa redha dari Allah? Jadi, tak kira lah kita ini genius, rajin belajar, smart susun strategi, pandai guna  taktik, namun andai kejayaan itu kita raih tanpa redha al-Khaliq, apa lah harganya. Di manakah manisnya.

~ KEJAYAAN ITU SIA-SIA TANPA REDHA PENCIPTA~

~ STILL INGAT AYAT KAKLONG YANG Saya SENDIRI TAK TAHU DIA PETIK DARI MANA ; KEJAYAAN ITU  MILIK ALLAH. DAN KEJAYAAN YANG HAKIKI ADALAH APABILA KITA MAMPU MENJADI HAMBANYA YANG TUNDUK PATUH PADA SETIAP TITAH YANG MAHA KUASA ~

JARANG KITA PERHATI

Bagi setiap ibadah kita, ada suatu kaedah untuk mengukur (penanda aras) untuk menentukan sama ada ia diterima atau tidak, juga untuk mengenalpasti amal kita itu berada di tangga atau level ke berapa.

Sebagai contoh, ibadah solat yang kita lakukan, boleh kita muhasabah sejauh mana keberkesanannya, setinggi mana peratusan atau gred yang boleh kita beri (sekadar untuk analisis & muhasabah diri sendiri) dengan melihat sekuat mana kita mampu menahan diri dari perkara mungkar dan keji. Firman Allah SWT

“Sesungguhnya solat itu mencegah (pelakunya) dari perkara yang keji dan mungkar”

Ibadah puasa pula boleh kita ukur dengan melihat, apakah kita menjadi hambaNya yang bertaqwa setelah keluar dari bulan tarbiyyah, Ramadan kareem. Sifat orang bertaqwa itu pemaaf,

Firman Allah SWT,

“Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat sebelum kamu (dengan itu) mudah-mudahan kamu bertaqwa.”

Begitu juga dengan belajar. Jika diperhatikan, sebenarnya peperiksaan merupakan salah satu kayu pengukur untuk melihat sejauh mana seorang pelajar itu memahami pelajarannya. Setelah berusaha bersungguh-sungguh, selepas menduduki peperiksaan dan apabila keluar keputusan, boleh lah kita nilai sendiri sejauh mana kita faham dan ingat pelajaran kita. Sebagai muhasabahnya (diri sendiri, bukan untuk judge orang lain) kita boleh Tanya pada diri kita, kalau lah yang aku ingat dan faham hanya 50% sahaja dari yang aku belajar, berapa peratus pula yang aku amal dan praktikkan dalam hidup?

~ ILMU ITU BUAHNYA AMAL ~

~ KATA ORANG BIJAK : MANUSIA ITU BINASA KECUALI MEREKA YANG BERILMU, ORANG YANG BERILMU ITU RUGI KECUALI MEREKA YANG BERAMAL (DENGAN ILMUNYA) DAN ORANG YANG BERAMAL ITU CELAKA KECUALI MEREKA YANG IKHLAS (DALAM AMALNYA) ~

TIPS DAN SARANAN

Saat-saat akhir begini, tips yang dapat saya cadangkan pada adik-adik tak banyak. Antaranya,

1-      Perbaharui niat.

2-      Jaga pemakanan fizikal dan rohani. Mudah-mudahan sihat kedua-duanya. Kalau jatuh sakit, bimbang mengganggu pula konsentrasi.  Namun, kalau jatuh sakit juga, optimis lah ye. Bersangka baiklah dengan Allah.

3-      Rangka jadual khusus untuk masa yang berbaki. Susun jadual sehingga sehari dua sebelum exam, kemudian untuk sepanjang peperiksaan rangka jadual lain pula, biar sesuai dengan situasi. Untuk sekarang, utamakan subjek-subjek yang berat atau masih dalam penguasaan, ‘A’ nya cukup-cukup makan. Subjek seperti matematik dan prinsip perakaunan biasakan buat latihan setiap hari.

4-      Jaga hati ibu bapa, guru-guru dan sahabat. Banyakkan sedekah dan tilawatul qur’an. Semoga beroleh ketenangan.

5-      Banyakkan perbincangan dengan kawan-kawan.

6-      Fahami betul-betul konsep tawakkal, kemudian bertawakkal lah kepada Allah. Tawakkal itu kita hadirkan selepas usaha keras. Kemudian, apa pun natijah yang Allah tetapkan, optimis saja.

Andai berjaya dengan cemerlang, syukur pada Allah. Jangan pandang rendah pada mereka yang keputusannya tidak sebaik kita. Mungkin kejayaan kita mengatasi rakan yang lain disebabkan kecuaian mereka dalam menjawab soalan, tidak kerana kita ini lebih pandai daripada dia. Berwaspada juga agar kejayaan itu menjadi satu rahmat dan nikmat dari Allah, bukannya istidraj. Teruskan dengan muhasabah. Jaga hati agar hidup terus dalam redhaNya.

Andai keputusan tidak sebaik yang diharapkan, cepat-cepat lakukan post-mortem. Cari punca agar boleh diberi perhatian pada masa akan datang. Jangan futur, jangan putus asa. Sangka baik lah dengan Allah, Dia sentiasa memberikan apa yang terbaik buat kita, Cuma bergantung juga pada individu yang berhadapan dengan keadaan, bagaimana dia memilih untuk menganalisis setiap perkara yang dihadapinya. Apa pun saya doakan agar kita dapat menilai setiap sesuatu dengan mata hati.

~ LOVE THE QUOTE : JANGAN MINTA PADA ALLAH AGAR DIPERKECILKAN UJIAN, TAPI MOHONLAH SUPAYA DIPERBESARKAN IMAN UNTUK MENGHADAPINYA ~

DOA SAYA IRINGI ANTUM

Kepada adik-adik yang bakal menduduki peperiksaan, saya mendengar “ Doa itu senjata bagi orang beriman”maka  setiap langkah kalian saya hantarkan doa sebagai pengganti diri, untuk temankan kalian pada saat-saat genting seperti ini.

~ Kita sentiasa berkata, hidup ini untuk mencari redha Allah. Segala yang aku buat aku harap Allah redha. Namun jarang sekali kita perhatikan, APA KITA REDHA DENGAN KETETAPAN YANG ALLAH TAKDIRKAN UNTUK KITA? ~

Sofia said ; Minta maaf atas kelewatan post ini, jadi saya khususkan post kali ini kepada adik-adik SPM dan para pembaca yang mahu mengambil manfaat umumnya. Allah yaftah ‘alaykum!!

Doa & harapan : Ya Allah, Masukkan aku dalam golongan mereka yang Engkau sifatkan dalam Kalam-Mu “ Radhiyallahu ‘anhum wa radhuu ‘anhu ”

Bingkisan buat teman

Bismillah wal hamdulillah, was solatu was salamu ‘ala rasulillah.

Dedikasi nasyid teristimewa buat sahabat-sahabat yg bakal berangkat ke Jordan & Mesir ;

 

image by fezripshyco in Scraps, Devian Art

Di pertemuan ini

Telah terjalin kasih sejati

Ukhuwah nan murni

Kita bina hidup bahagia

Rukun damai aman sentosa

Sama-sama kita harungi

Ranjau liku onak dan duri di sini

Bila-bila hari berlalu pergi

Bagai semalam ia terjadi

Kini tibalah perpisahan ini

Antara kita

Pergilah..oh sahabatku

Ku tahu kau bukan milikku

Pergilah..oh sahabatku

Walau berat melepaskanmu

Tapi jangan lupa

Janji setia kita

Taqwa Allah di mana jua

~ Allahyarham Ust. Rosli bin Osman~

Sahabat, kalian hadiah tidak ternilai dari Allah. Hidup kadang terasa lapang walau berdepan tribulasi dengan kehadiran sahabat. Susah senang dikongsi bersama, rasa syukur, qana’ah, sabar & redha menambah kuat ikatan persahabatan yg terbina. Bila kita berkongsi rasa, hidup indah tiada tara. Ia hadir menceriakan saat hati dirundung duka, tersenyum bahagia saat sahabatnya gembira, tekun mendangar tika sahabatnya meluah rasa. Sunnah & sirah baginda dijadikan tauladan, hak-hak sahabat dipelihara demi mempertahan hubungan.

Buatmu sahabat yang bertakhta di hatiku, harta, masa bahkan nyawaku insyaAllah sanggupku korbankan demi kalian. Aku mencintai kalian kerana Allah, biarlah penghujung ukhuwah kita hanya di syurgaNya. Jangan pernah terlintas di fikiran kalian bahawa kalian menyusahkan aku, aku tidak pernah rasa terbeban jika persaudaraan kita memerlukan aku berkorban untukmu. Apa yang kuharap cumalah engkau wahai sahabatku, menyertaiku dlm mentaati Allah dan RasulNya, mendahulukan Allah melebihi apa pun yg berada di atas bumiNya ini. Sahabat, marilah kita berjanji kepada Allah, kita akan melakukan setiap pekerjaan kita dengan penuh bersungguh-sungguh lagi tekun, kerana apa yg kita raih hanyalah cinta & redhaNya kepada kita.

“ Sesungguhnya Allah mencintai seseorang kamu apabila dia melakukan sesuatu pekerjaan, dia tekun dlm melaksanakanNya. ” ~hadis~

Aku juga insan lemah dari umat akhir zaman sepertimu. Aku yakin atas persamaan itu, aku dan engkau sangat memahami perasaan satu sama lain. Terkadang kita akan berasa lelah, namun kuharap kita takkan begitu mudah menyerah kalah. Mari kita jadikan impian & cita-cita kita sebagai pemangkin semangat bagi meneruskan jihad kita di dunia alaf baru ini. Terkadang musibah & ujian bagai menekan-nekan semangat kita agar runtuh menyembah bumi, aku sarankan agar segala rintihan biarlah Allah tempat pertama mendengarnya dari mulut kita sendiri. Semoga kita termasuk dlm golongan mereka yg bertaqwa, yg telah Allah janjikan jalan keluar bagi setiap masalah.

“ Dan sesiapa yg bertaqwa kepada Allah, Allah akan menjadikan baginya jalan keluar ” ~surah at-talaq, ayat 2~

Wahai sahabatku..mukmin yg menjadikan Allah tempat berlindung dari segala bahaya dlm semua keadaan dan ketika,

Kadang kita terlupa..setelah berusaha dengan sepenuh daya, kita perlu mengembalikan hak untuk menentukan natijahnya kepada Allah yg bersifat dengan sifat al-Qadhi, yg memutuskan sesuatu perkara. Di sinilah terserlah kepentingan tawakkal kepada seorang umat akhir zaman yg lemah, hina lagi berlumuran dosa seperti kita. Andai setelah berusaha, Allah mentakdirkan kegagalan buat kita, saat itu seharusnya kita bermuhasabah dengan segera, di manakah kekurangan kita, apakah kesilapan yg telah kita lakukan sehingga Allah menimpakan musibah tersebut pada kita. Jangan kau cepat menghakimi aku, aku berkata demikian bukan kerana aku seorang hamba yg suka memprotes & bukan pula hambaNya yg ‘demand’ kata orang, aku berlindung dengan kalimah Tuhanku yg sempurna dari menjadi hambaNya yang begitu. Aku bahkan sedang berusaha mengkaji al-furqan dan al-hadis, aku juga sedang cuba mempersiapkan diriku untuk menyumbangkan apa yg termampu buat Islam, deen yg telah menyebabkan cintaku pada Allah terbalas. Aku beralasan bahawa aku sedang cuba mendalami sumber perundangan Islam yg aku sebutkan tadi kerana, aku pernah membaca tafsir bagi ayat ke11 dari surah Ar-Ra’d,

“ Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubahnya sendiri. ”

Tafsir ayat tersebut menerangkan bahawa Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum yang asalnya wajar mengecap nikmat kesenangan kepada kemelaratan kecuali mereka mengubah nasib tersebut dengan melakukan maksiat kepada Allah.

– Rujuk kitab ‘ Tafsir Al-Azhar ’ karangan Prof. Dr. HAMKA.-

Maka aku merasakan setiap kali kita ditimpa musibah & diuji dengan kesedihan, kita perlu membuat ‘check-list’ , siapa tahu..mungkin saja kegagalan kita berpunca daripada sikap kurang prihatin kita dlm penjagaan hati (sifat mazmumah merajai hati/hati semakin hari semakin lalai dari mengingati Allah & hari kebangkitan) , mungkin jaga kerana kita kurang menjaga hubungan kita dengan Allah & hubungan kita sesama manusia. Boleh jadi berpunca dari pemakanan kita yg mencampur adukkan makanan halal & syubhah atau maanan halal tetapi tidak berkhasiat. Kerana Allah memerintahkan kita supaya memakan makanan yg halal lagi baik.

Wahai temanku, maafkan aku atas segala salah silapku kepadamu. Engkau tidak perlu meminta maaf padaku, suka aku pinjam kata-kata seorang guruku, “tiada maaf bagi mereka yang hatinya telah terikat dengan hatiku”. Apa saja ketelanjuranmu aku tidak ambil hati selagi engkau & aku bersaudara kerana diikat akidah yang suci ini. Terima kasih untuk segalanya.

Wahai sahabat sejatiku, aku kira cukuplah setakat ini warkah buatmu. Jaga diri di perantauan, aku harap kita akan bertemu lagi. Aku akan menulis lagi, insyaAllah..

Salam sayang,

sofiyyukum

 

sayang kamu semua kerana Allah

sanah helwah..!

Bismillah Ar-rahmaan Ar-raheem..Segala puji bagi Allah, selawat & salam buat Rasulullah.. Post kali ini saya dedikasikan khusus buat insan-insan yang banyak membantu saya dlm permusafiran saya di dunia ini. Syukran saya ucapkan. Kehadiran kalian sangat memberi erti kpd saya. Terimalah post ini sebagai hadiah untuk hari lahir kalian, sahabat-sahabatku yg lahir pada bulan september. Ya Raheem, terima kasih kerana menghadirkan mereka dlm hidupku. Terimalah seadanya.

Terima kasih pada :


1- Ustazah Khalasah bt. Esa (5 Sept)

2- Ustaz Asyrul Hisyam @ Fauzan b. Abdul jalil (5 Sept)

3- Ustaz Hakim @ Badar b. Ibrahim (6 Sept)

4- Ustazah Azimah Hanun bt. Mas’ud (7 Sept)

 

5- Ustazah Qanitah (8 Sept)

6- Ustazah Nur Izzati Abdul kader (26 Sept)

Saif hadiahkan nasyid ”ibnul islam” ini istimewa buat kalian..Sama-sama kita hayati..


PENGHARGAAN

Ucapan Selamat Hari Lahir istimewa buat sahabat-sahabat sefikrah yang sudi bersama-sama memikul amanah dakwah dari Allah & berkongsi pahit manis perjuangan menegakkan deenul islami ini.

Catatan ini kutulis sebagai peringatan buat diri & sahabat-sahabat yg terkadang lalai dengan nikmat yg melimpah ruah kurniaan Allah..

SEDIKIT PERKONGSIAN AGAR BERMANFAAT DEDIKASI INI

Wahai diriku & sahabat yg kuhargai,

Perelokkanlah pakaianmu. Firman Allah,

Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. (al-muddaththir,ayat 4)

Suatu hari Syeikh Abu Al-Hasan Asy-Syadzili bercerita :

Aku pernah ditegur : Wahai ‘Ali, bersihkan bajumu dengan pertolongan Allah. Pasti ia akan sentiasa terpelihara.

Aku pun bertanya : Baju yang mana?

Ia menjawab : Allah telah memberimu pakaian Islam. Siapa yang mengesakan Allah, ia tidak akan menyekutukanNya. Siapa yang beriman kepada Allah pasti aman dari segala sesuatu serta siapa yang berserah diri pada Allah, kecil kemungkinan akan terjerumus. Sekiranya terjerumus, ia akan cepat memohon keampunan & ketika meminta keampunan, pasti akan dikabulkan.

Syeikh Abu al-Hassan lantas berkata : Darinya aku memahami firman Allah yang berbunyi :

Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. (al-muddaththir,ayat 4)

DOA TULUS TANDA INGATAN

Wahai saudara-saudara seakidahku..mukmin yang sentiasa mengharapkan redha Allah dalam setiap perkara,

Semoga pertambahan umur kalian turut meningkatkan keimanan, amal soleh & taqwa kalian.

Ketahuilah bahawa pada hari ulangtahun  kelahiranmu ini, ada sahabatmu yang mendoakan kejayaanmu, mendoakan supaya Allah mengampunkan dosamu yang telah lalu & memberkati masa depanmu dengan mengurniakan hidayah & taufiknya agar kalian merasa ringan untuk beribadah mengabdikan hidupmu hanya kepada Allah yang Maha Menghitung.

Ya Allah Ya Razzaq, murahkanlah rezeki sahabat-sahabatku ini dalam keberkatan,

Ya ‘Azeez, panjangkan umur mereka dalam taat perintahMu,

Ya Ghafuur, ampunkan dosa mereka dengan mengilhamkan pada mereka agar bertaubat & menjauhi maksiat.

Ya Dzal Jalaali wal ikram, berilah mereka kekuatan agar sentiasa tabah,kuat & ceria menghadapi hari-hari mendatang.

LAST BUT NOT LEAST

Teruskan misi menegakkan syariat Allah di muka bumi , redhailah ketentuan Allah, moga Allah meredhai hidup kita. Ana uhibbukum fillah.