have faith in ALLAH

Archive for August, 2011

Ramadhan, Somalia & Kita

Assalamualaikum wbt..

Saudara,

Aku menulis catatan ini dengan air mata. Palestin, Somalia, kisah mereka menusuk jiwa. Ramadhan kian melabuhkan tirainya, sedang aku tetap saja menyaksikan sebahagian kita terus lalai dari memaknakan bulan mulia ini. Aku pengikut setia kisah saudara-saudara kita di Somalia sana. Kebuluran dan kehausan, bersama terik mentari yang membakar. Saban hari ada saja yang pergi. Mangsa peperangan dan wabak taun, aduh..hatiku runtun sekali..

Jika salah satu hikmah berpuasa adalah untuk merasai kesusahan orang yang susah, menyelami keperitan mereka yang kelaparan, maka krisis di Somalia ini menawarkan peluang dan ruang untuk kita menghulurkan sumbangan, walau dengan sekecil apa pun ia kepada saudara-saudara yang sudah tentu memerlukan.

Bagi menghadapi krisis ini, adalah sangat penting bagi setiap mukmin, yang mengerti akan nilai sebuah ukhuwwah islamiyyah, menunjukkan walau secebis keprihatinan sebagai respon terhadap bencana di Somalia dengan semangat persaudaraan yang luar biasa.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara…..” (ayat 10, surah Al-Hujurat)

Ayat di atas tertulis dengan jelas, setiap kita bersaudara. Benua bukan pemisah, bangsa bukan lah semata-mata pengikat ukhuwwah. Di Somalia kah kamu, di Malaysia, di Mesir..atau di mana saja bumi kamu berpijak, andai kamu beriman, kamulah saudaraku, yang aku cintai hanya kerana-Nya. Paksi ukhuwwah kita iman, kerana itu aku derita tatkala kamu sakit dan aku pantas akan merasa senang, andai mendengar hari ini kamu sudah menjamah makanan.

“Perumpamaan orang-orang yang beriman itu pada kasih sayang, rasa belas dan ikatan  sesama mereka seperti satu jasad. Apabila satu anggota jasad mengadu kesakitan, seluruh jasad akan turut merasai sakit.”  (Hadis Riwayat Muslim)

Teman, Ramadhan ini mari manfaatkan sebaiknya. Elakkan pembaziran masa dan makanan, ayuh rebut peluang yang tersisa. Saudara-saudara di Somalia, jangan terus dilupakan. Mereka sebenarnya ada kita sebagai saudara seakidah mereka. Lapar sakit mereka, zahirkan kepedulian kita !

Ramadhan, kita dan Somalia.

Fikirkanlah teman, dalam bulan Ramadhan ini apa yang telah kita lakukan. Kita dan Somalia, apakah punya ikatan. Fikir dan buatlah keputusan !

Salam Ramadhan al-Mubarak !

Maklumat lanjut : (map2care.blogspot.com)

*Risalah untuk Unit Biah Solehah PMRAM, ditulis semasa penghujung Ramadhan 1432H..
Ya Allah, kuatkanlah saudara-saudaraku di sana. Ya Ghafur,, ampunkanlah dosa-dosa kami.

Janji Anak Adam

hujung kehidupan & dunia ini, kepadaNya kita akan kembali...

Janji…

Andai diukir untuk dimungkiri,

Kata…

Andai diniat untuk berdusta,

Nantikanlah datangnya suatu masa

 

 

Hari yang tiada siapa pun berkuasa,

melainkan Dia

Hari terbongkarnya rahsia

Hari penyesalan setiap hamba berdosa

 

 

Maka iman,

Buktikan dengan amalan..

Maka Islam,

Jadikan pakaian..

Moga bahagia saat bertemu Tuhan!

Perhatikan firman Tuhanmu ;

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan anak-anak Adam daripada sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman) : “Bukan kah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab : “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi. …” (QS 7 ; 172)

 

“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-ganang, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia.            (QS 33 : 72)

 

“Telah dekat kepada manusia hari menghisab segala amalan mereka, sedang mereka berada dalam kelalaian lagi berpaling (daripadanya) (QS 21 : 1)

 

~kerana cinta, aku menulis lagi..~

22082011 ; 3.01 am

<402>