have faith in ALLAH

Archive for March, 2011

MUHASABAH : BILA MARAH, KENANGKAN KEMBALI.

sirami api kemarahan dengan kejernihan wuduk yang diangkat kerana Allah.

CERITA RAKYAT

Ada masa emosi kita kurang stabil.

Ada masa kita kurang sabar.

Maka ayat-ayat yang kurang enak di dengar akan lancar sahaja keluar dari mulut.

Tambahan pula bagi mereka yang dalam keadaan terlampau marah, tubuh akan terasa sedikit menggeletar, mata bertukar kemerah-merahan, nafas makin kurang teratur, macam-macam lagi.

Tidak kurang yang kita temui, bahkan mungkin sesetengah kita sendiri yang mudah meninggikan suara kepada orang yang sengaja menyalakan api kemarahan kita.

Lagi pula kalau si dia itu lebih muda dari kita, lebih rendah jawatan atau pangkat daripada kita atau kita merasakan diri kita lebih bagus daripada dia yakni tidak mungkin melakukan kesilapan seperti yang dia lakukan (ini lebih teruk lagi) .

Herdikan, caci maki dan pukulan mungkin saja dihadiahkan kepada mereka yang kita anggap salah.

Biasa kita dengar di tengah kesibukan jalanraya,

“HOI !! BUTA KE?! TRAFFIC LIGHT DAH HIJAU, TUNGGU APA LAGI ?! JALAN LA CEPAT…!! #*@&$% !!

Dan segala ayat kasar itu ditutupi dengan pelbagai kata-kata kesat.

Tidak kurang pula yang kita pernah alami dalam dunia kita sebagai pekerja berjawatan rendah. Pantang ada kesilapan kecil, kebiasaannya maki hamunlah yang akan menjadi habuan.

“Dasar budak tak habis belajar ! Suruh buat kerja mudah pun masih salah lagi. Useless!!”

Aduh..pedih sungguh. Namun bagi yang dimarahi, suka mahupun tidak, semua itu ditelan seolah tidak berperasaan.

Kisah di atas hanyalah kisah-kisah picisan, kecil sahaja jika mahu dibandingkan dengan hakikat kehidupan sosial hari ini.

Realitinya masih banyak ‘drama-drama’ sadis yang berlaku di luar sana. Hidup dalam nuansa keegoan sebenarnya bukanlah sesuatu yang indah.

Mengisi kelaparan pagi dengan ayat-ayat pedih menghiris, beristirehat kala lelah petang hari diiringi jelingan tajam dan beradu waktu malam dalam dodoian caci maki bukanlah suatu yang nyaman lagi diimpikan.

KAMI JUGA BACA AL-QURAN.

Rata-rata umat Islam hari ini masih membaca Al-Qur’an.

Paling tidak, sekali setahun.

Setelah Al-Qur’an dibiar berhabuk di atas almari, pada majlis khatam qur’an kita ambil juga.

Pada bulan Ramadhan, kita belek juga kitab suci pegangan kita.

Pada ketika ada saudara terdekat, ibu bapa atau sahabat handai yang meninggaldunia, masa itulah kita baca Al-Qur’an.

Bila nak bersumpah, Qur’an lagi yang kita genggam.

Itulah Al-Qur’an.

Ternyata ia merupakan mukjizat terbesar Nabi Allah, Muhammad SAW yang masih kekal hingga kini. Bahkan masih dikaji intipatinya dan terus menjadi rujukan seorang mukmin.

Maka kita, seorang yang mengaku beriman harus merujuk Al-Qur’an, biar apapun jua tindakan kita.

Lantas, ketika marah, mari kita buka kembali helaian Al-Qur’an.

Firman Allah dalam Surah At-Tahrim, ayat 8 :

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai…”

Firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 110,

“Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri kemudian dia memohon ampun kepada Allah nescaya dia akan mendapati Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

KITA MANUSIA BIASA, SEDANG ALLAH MERUPAKAN RAJA SEGALA RAJA.

Kita selaku manusia, apabila sekali sekala perintah kita tidak dituruti orang bawahan, cepat benar kita melenting.

Kita manusia, orang mungkir janji dengan kita, tidak segan kita mengamuk satu dunia.

Itulah hakikat manusia.

Selalu merasakan dirinya yang terbaik, orang lain semuanya salah.

Bagaimana pula urusan kita dengan Allah?

Sehari entah berapa kali kita khilaf.

Berapa kali kita buat tak endah suruhan Allah.

Janji kita dengan Allah, adakah kita tepati?

Mungkin ada yang terlupa janjinya, maka mari kita renung kembali.

“Dan INGATLAH ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman) : Bukankah Aku ini Tuhanmu? Mereka menjawab : Betul (Engkau Tuhan kami) , kami menjadi saksi. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan : Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan) .

Kadang-kadang kita ini benar-benar kurang adab dengan Tuhan.

Diberinya nikmat hujan, kita merungut itu dan ini.

Diberi pula panas matahari, ada saja sungutan kedengaran.

Semuanya serba tak kena.

Bayangkan bagaimana halnya jika kita ke tempat kerja begitu.

Diberi rehat, komen itu ini. Konon tidak produktiflah, budaya kerja pemalas dan sebagainya.

Diberi kerja bertimbun, kata pula majikan tidak bertimbangrasa.

Dengan perangai yang suka mempertikai dan mempersoal itu ini, agak-agaknya apa ending kerjaya kita?

Bagaimana nasib kita di pejabat? Susah! Alamat tak lama ada la yang kena pecat !

AL-QURAN SEBAGAI RUJUKAN & AJARAN ALLAH.

Lihatlah bagaimana Allah menyentuh hati-hati kita dalam kalamnya yang halus lagi indah.

Firman Allah dalam Surah At-Tahrim, ayat 8 :

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai….”

Firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 110,

“Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri kemudian dia memohon ampun kepada Allah nescaya dia akan mendapati Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Dengan hamba-hambaNya yang berdosa pun, Allah masih mahu memanggil dengan panggilan yang lembut, Allah itu Al-Lateef, Maha Lembut.

Bila seorang hamba berdosa, masih dipanggilnya ; Wahai sekalian yang beriman, …..

Tiada makian, kata-kata kesat. Sedang Allah itu Raja sekalian raja, dan kita pula hanya seorang hamba yang tida daya upaya. Baru saya faham, mengapa ulama-ulama yang faham bahasa arab, tak kira dia itu orang melayu, arab atau inggeris, terlalu mudah menitiskan air mata ketika mengalunkan ayat suci Al-Quran. Mukjizat Al-Quran, dari segi uslub bahasanya! Dipujuk pula hamba yang berlumuran dosa itu dengan ayat ; Allah Maha Penyayang dsb. Kita bagaimana?

BILA KITA MAHU MARAH, KENANGKANLAH..

Tulisan ini bukan untuk menghukum sesiapa, sekadar mengajak kita bermuhasabah kembali.

Tiap kali mahu marah pada yang bukan tempatnya, fikir kembali.

Aku buat salah dengan tuhan semalam, hingga hari ini masih belum bertaubat. Tidak pula Allah runtuhkan langit ini menghempap aku. Aih..tak patut aku pukul orang.

Bila nak marah, renungkan semula.

Aku solat tidak pada awal waktu setiap hari, bukan kerana uzur syar’ie. Tapi Allah masih beri aku peluang untuk kembali. Ishh..malu aku nak tengking orang.

Bila saja mahu marah, kenangkan kembali ayat suci Al-Quran yang pernah dihayati. Allah itu pangkatnya jauh lebih tinggi dari aku, tidak pula Dia turunkan bala setiap kali manusia berbuat dosa. Ya Allah, jadikanlah aku seorang yang sangat penyabar.

Marah itu bukan tidak dibenarkan sama sekali, bahkan Islam menggalakkan umatnya marah dalam situasi tertentu.

Dan saat kesabaran kita diuji, tika urusan hidup kita tidak lancar akibat kesilapan seseorang, jangan diamkan sahaja kesalahan dia. Tetapi jangan dimarahi dengan kasar tanpa perikemanusiaan. Sepak terajang itu bukan seni nasihat dalam Islam.

Islam ajar adab untuk menegur orang yang berbuat kesalahan.

Maka pelajarilah Islam dan beramallah dengannya.

Bila kita marah, ingatlah pada Allah!