have faith in ALLAH

Ramadhan, Somalia & Kita


Assalamualaikum wbt..

Saudara,

Aku menulis catatan ini dengan air mata. Palestin, Somalia, kisah mereka menusuk jiwa. Ramadhan kian melabuhkan tirainya, sedang aku tetap saja menyaksikan sebahagian kita terus lalai dari memaknakan bulan mulia ini. Aku pengikut setia kisah saudara-saudara kita di Somalia sana. Kebuluran dan kehausan, bersama terik mentari yang membakar. Saban hari ada saja yang pergi. Mangsa peperangan dan wabak taun, aduh..hatiku runtun sekali..

Jika salah satu hikmah berpuasa adalah untuk merasai kesusahan orang yang susah, menyelami keperitan mereka yang kelaparan, maka krisis di Somalia ini menawarkan peluang dan ruang untuk kita menghulurkan sumbangan, walau dengan sekecil apa pun ia kepada saudara-saudara yang sudah tentu memerlukan.

Bagi menghadapi krisis ini, adalah sangat penting bagi setiap mukmin, yang mengerti akan nilai sebuah ukhuwwah islamiyyah, menunjukkan walau secebis keprihatinan sebagai respon terhadap bencana di Somalia dengan semangat persaudaraan yang luar biasa.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara…..” (ayat 10, surah Al-Hujurat)

Ayat di atas tertulis dengan jelas, setiap kita bersaudara. Benua bukan pemisah, bangsa bukan lah semata-mata pengikat ukhuwwah. Di Somalia kah kamu, di Malaysia, di Mesir..atau di mana saja bumi kamu berpijak, andai kamu beriman, kamulah saudaraku, yang aku cintai hanya kerana-Nya. Paksi ukhuwwah kita iman, kerana itu aku derita tatkala kamu sakit dan aku pantas akan merasa senang, andai mendengar hari ini kamu sudah menjamah makanan.

“Perumpamaan orang-orang yang beriman itu pada kasih sayang, rasa belas dan ikatan  sesama mereka seperti satu jasad. Apabila satu anggota jasad mengadu kesakitan, seluruh jasad akan turut merasai sakit.”  (Hadis Riwayat Muslim)

Teman, Ramadhan ini mari manfaatkan sebaiknya. Elakkan pembaziran masa dan makanan, ayuh rebut peluang yang tersisa. Saudara-saudara di Somalia, jangan terus dilupakan. Mereka sebenarnya ada kita sebagai saudara seakidah mereka. Lapar sakit mereka, zahirkan kepedulian kita !

Ramadhan, kita dan Somalia.

Fikirkanlah teman, dalam bulan Ramadhan ini apa yang telah kita lakukan. Kita dan Somalia, apakah punya ikatan. Fikir dan buatlah keputusan !

Salam Ramadhan al-Mubarak !

Maklumat lanjut : (map2care.blogspot.com)

*Risalah untuk Unit Biah Solehah PMRAM, ditulis semasa penghujung Ramadhan 1432H..
Ya Allah, kuatkanlah saudara-saudaraku di sana. Ya Ghafur,, ampunkanlah dosa-dosa kami.

Leave a comment